Demi Perjuangan, Saya Akan Terus Melangkah

1. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama sekali, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, agama dan latar belakang tidak kira di mana anda berada. Dari Johor hingga ke Perlis, dan dari Sarawak ke Sabah dan juga Labuan, raikanlah keharmonian dan perpaduan yang telah terpupuk sejak puluhan tahun dahulu.

2. Bulan Mei 2018 menyaksikan satu transisi aman dalam pertukaran tampuk pentadbiran kerajaan setelah rakyat Malaysia memilih sebuah Kerajaan yang baharu. Sebagai seorang demokrat, saya menerima dan menghormati keputusan rakyat, dan saya berpandangan Kerajaan harus diberikan peluang untuk mentadbir negara dengan nafas yang baharu.

3. Saya terima kekalahan saya di Kota Belud pada PRU14 kerana saya menghormati pilihan pengundi. Dalam dunia politik, tiada kuasa yang lebih hebat daripada suara dan kehendak rakyat. Dalam skala yang lebih besar, saya turut menerima kekalahan Barisan Nasional atas sebab yang sama: Suara rakyat adalah suara keramat.

4. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya menyokong dan mendukung sepenuhnya proses dan amalan demokrasi di negara kita ini. Sistem demokrasi berparlimen yang dimodelkan menerusi sistem Westminster di Britain, dan amalan pilihan raya berlandaskan konsep first-past-the-post telah sekian lama menjadi tunjang dalam pembangunan, kestabilan dan pembentukan identiti negara.

5. Amalan demokrasi tersebutlah yang membawa kepada pertukaran Kerajaan pada 9 Mei 2018 yang lalu. Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan yang dipilih rakyat, dan meletakkan keyakinan kita kepada wakil-wakil rakyat yang telah dipilih untuk menjunjung amanah yang telah diletakkan di atas bahu mereka.

6. Pada Disember 2018, saya telah menyertai sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah yang diketuai oleh YB Datuk Seri Panglima Hajiji untuk mengambil keputusan meninggalkan UMNO. Antara sebab kenapa keputusan tersebut dibuat ialah untuk membolehkan kita memberi tumpuan kepada masa hadapan negeri Sabah. Kita berpandangan negeri Sabah harus membina hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun dan berdaya saing bersama negeri-negeri lain. Secara peribadi pula, saya turut mengambil peluang tersebut untuk berehat dari politik berparti.

7. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya perhatikan dunia politik negara sudah mula menjerumus ke arah perpecahan dan politik ekstrim. Nilai-nilai kesederhanaan yang menjadi landasan kepada perpaduan nasional sudah mula diketepikan oleh sesetengah pihak. Rakyat diapi-apikan dan menjadi mangsa manipulasi pihak-pihak yang berkepentingan politik semata-mata.

8. Setiap hari kita dengar berita-berita yang tidak enak didengar. Bara perkauman dan ektremis agama ini jika tidak dikawal, akan membakar kita semua. Perpaduan yang dipupuk sejak turun temurun akan terhapus sekelip mata.

9. Bila berbicara tentang perpaduan, selalunya ia hanya berkisar tentang tiga kelompok masyarakat utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Kadang-kadang kita lupa bahawa Sabah dan Sarawak juga termasuk dalam Malaysia di mana di Sabah sahaja terdapat lebih daripada 30 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat 27 etnik. Kita semua adalah rakyat Malaysia tidak kiralah bangsa, kaum, etnik atau suku.

10. Atas sebab itu saya terpanggil untuk kembali mengetengahkan suara dan pandangan saya melalui blog peribadi saya ini. Blog ini akan menjadi landasan untuk saya berkongsi pandangan, pendapat serta cadangan saya terhadap isu-isu politik, ekonomi dan sosial yang menyentuh dan berkait rapat dengan kita sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira batas kaum.

11. Sejak mula menyertai dunia politik, saya kekal hingga ke hari ini sebagai seorang yang moderate, progresif dan amat mendukung kestabilan. Saya percaya, malahan yakin bahawa majoriti rakyat Malaysia juga berfikiran yang sama. Hari ini, suara kita tenggelam dalam kancah perkauman dan politik ekstrim. Kita harus bekerjasama, tidak kira bangsa, agama atau latar belakang, dan memulakan langkah untuk menenggelamkan kembali suara-suara ekstrim itu.

12. Selamat datang ke blog saya, dan selamat membaca.