Mogok Foodpanda & Kebajikan Pekerja “Gig Economy”

1. Pada 29 September lalu, lebih daripada 100 penghantar makanan (riders) Foodpanda di Sabah bertindak melancarkan mogok kerana tidak berpuas hati dengan skim pembayaran baru yang diperkenalkan majikan mereka. Mogok ini kemudiannya turut melibatkan riders Foodpanda di Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.

2. Menurut riders yang terlibat, skim pembayaran baru yang diumumkan pada 28 September dan mula dilaksanakan pada 30 September itu adalah tidak adil kepada mereka walaupun menurut Foodpanda skim baru ini akan menambahkan pendapatan riders.

3. Antara rungutan yang disuarakan oleh riders adalah bahawa Foodpanda didakwa tidak berbincang dengan mereka sebelum melaksanakan sistem baru; wakil Foodpanda tidak mengendahkan kebajikan dan aduan mereka; dan pendapatan mereka akan berkurangan antara RM500 hingga RM600. Ada juga riders yang mengadu bahawa mereka diancam diberhentikan kerja atau dimansuhkan ID sekiranya terlibat dalam mogok tersebut.

5. Saya berpandangan perlu ada penyelesaian yang seimbang atau “win-win” dalam isu ini. Pertumbuhan industri “gig economy” yang pesat hari ini perlu dilihat sebagai satu aspek positif dalam pembangunan ekonomi negara. Namun, pemain-pemain industri haruslah menjaga kebajikan dan kepentingan pekerja yang secara langsung turut memainkan peranan dalam pertumbuhan industri.

6. Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini (“Anak Muda & Gig Economy”), pekerja-pekerja freelance tidak diberikan perlindungan insurans mahu pun Socso, dan mereka juga tidak menyimpan ke dalam KWSP. Sekurang-kurangnya majikan perlulah memberikan imbuhan yang setimpal dengan kerja-kerja mereka yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko cuaca dan kemalangan.

7. Saya menyambut baik usaha Menteri Belia & Sukan Syed Saddiq yang berkata kita memerlukan undang-undang baru yang memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pekerja-pekerja “gig economy” di masa hadapan. Hari ini pula, Kementerian Sumber Manusia turut berkata bahawa mereka akan mencari penyelesaian yang baik untuk kedua-dua pihak setelah membuat perbincangan rapi bersama riders dan juga pengurusan syarikat.

8. Saya berharap kita dapat mencari penyelesaian yang munasabah dan baik untuk riders dan juga majikan, dan agar pihak kerajaan dapat terus memberikan komitmen dan keprihatinan secara menyeluruh terhadap industri “gig economy” yang semakin pesat berkembang di Malaysia hari ini.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *