Keangkuhan Majikan & Nasib Pekerja

1. Saya terkilan dengan keputusan Foodpanda untuk meneruskan skim pembayaran baharu yang mereka perkenalkan walaupun sekumpulan penghantar-penghantar makanan mereka telah melancarkan kempen mogok di beberapa buah negeri awal bulan ini.

2. Saya boleh menerima alasan yang mereka berikan, iaitu mereka yakin bahawa skim pembayaran baharu tersebut boleh memberikan peluang pendapatan yang lebih tinggi kepada riders, dan seterusnya memberi motivasi kepada riders lain supaya lebih berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi.

3. Namun, saya berpandangan syarikat Foodpanda tidak sepatutnya memberikan kata dua kepada riders dengan menyarankan mereka berhenti bekerja sekiranya masih tidak bersetuju dengan skim tersebut. Sebelum ini, ada aduan dari riders yang mendakwa mereka diugut dibuang kerja atau dimansuhkan ID sekiranya terlibat dalam mogok tersebut.

4. Adakah mereka mengeluarkan kenyataan ini disebabkan mereka tahu mereka tidak mempunyai persaingan dari syarikat-syarikat lain? Apa pun sebab mereka, nampaknya Foodpanda tidak bersikap terbuka dalam menangani keluhan atau permintaan pekerja-pekerjanya.

5. Mereka seakan lupa bahawa riders juga adalah sebahagian daripada perniagaan mereka, dan sikap ini seolah-olah menunjukkan riders kurang penting dalam organisasi perniagaan Foodpanda. Mungkin ini bukannya niat mereka, namun kini orang ramai sudah mula mempersoalkannya.

6. Saya percaya kebanyakan pekerja Foodpanda turut kesal dengan keputusan tersebut. Saya terbaca semalam kebanyakan mereka sedang atau telah pun mencari pekerjaan baru.  Saya amat bersimpati terhadap nasib mereka dan saya doakan agar mereka segera mendapat pekerjaan baru.

7. Isu ini sudah menjadi viral dan pengguna-pengguna media sosial sudah mula tunjukkan solidariti terhadap riders Foodpanda. Kempen Boikot Foodpanda yang sudah mula bergerak sejak tiga hari lepas di media sosial sedikit sebanyak akan membawa kesan kepada operasi perniagaan Foodpanda. Tidak sampai beberapa hari pun, rating applikasi Foodpanda sudah mula merudum teruk.

8. Sepatutnya Foodpanda menangani isu ini dengan lebih cermat. Jika sebelum ini orang ramai terpanggil untuk membincangkan sama ada benar skim pembayaran baru tersebut lebih membawa manfaat kepada pekerja, kini orang ramai hanya lebih berminat untuk berbincang mengenai keangkuhan syarikat tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *