Kerajaan, Pemancing Ikan & Fish Finder

1. Pepatah Inggeris menyebut “Give a man a fish and you feed him for a day; teach a man to fish and you feed him for a lifetime.” Dalam Bahasa Malaysia ada juga variasi pepatah ini yang berbunyi “memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya” yang kalau tak silap saya berasal dari pepatah Cina kuno.

2. Maksud pepatah ini jelas:  Lebih baik kita mengajar seseorang untuk melakukan sesuatu daripada kita sendiri melakukannya untuk orang itu. Pepatah ini adalah tentang memberikan pertolongan kepada orang lain untuk berdikari, agar mereka dapat berusaha sehingga berjaya.

3. Dalam konteks dunia kita yang serba moden ini, saya ingin menambah sedikit: Memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya, dan baik juga jika kita sediakan sekali fish aplikasi finder.

4. ‘Fish finder’ yang saya sebut ini adalah contoh yang selari dengan pertumbuhan platform-platform digital seperti Grab, Airbnb, Favser, Gojek dan sebagainya yang membolehkan penyedia-penyedia perkhidmatan berhubung bersama pelanggan yang menggiatkan kegiatan gig economy dalam kalangan orang muda hari ini.

5. Kesemuanya ini membuka peluang-peluang pekerjaan kepada orang muda di samping dapat merancakkan lagi industri gig economy dalam pembangunan ekonomi negara.

6. Minggu lepas saya mencadangkan agar kerajaan memastikan kebajikan “giggers” iaitu pekerja-pekerja freelance dalam gig economy tidak dieksploitasi oleh majikan dengan bayaran yang rendah semata-mata agar majikan dapat mengelak daripada mengambil pekerja tetap.

7. Kali ini pula saya mencadangkan kerajaan serius membantu dalam pertumbuhan platform-platform digital yang baru agar dapat membantu kedua-dua pengusaha atau syarikat dan juga orang ramai supaya mereka boleh mendapat peluang penjanaan pendapatan baru.

8. Saya juga berpandangan bahawa pembangunan platform-platform baru ini perlu juga mengambilkira keperluan dan kepentingan masyarakat yang bukan tinggal di bandaraya sahaja. Fikirkan juga bagaimana platform-platform sebegini boleh dibangunkan agar dapat memberi peluang yang sama kepada masyarakat di bandar kecil, luar bandar dan mungkin juga kawasan pedalaman.

9. Inilah yang saya katakan tadi: Memberi pancing lebih baik daripada memberi ikannya, dan baik juga jika kita sediakan sekali aplikasi fish finder.

One Comment

  • Ahmad Nizam Ibrahim

    Ekonomi digital tanpa sempadan ini bukan sahaja dapat memberi peluang kepada giggers untuk mendapat pendapatan, tapi ianya boleh memberi pulangan lumayan secara global kepada technopreneurs yang boleh membangunkan platform yang boleh memberi manfaat kepada para netizens seluruh dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *