Mural Di Jalan Tanjung Lipat

1. Hari ini kita biasa melihat pelbagai lukisan mural atau grafiti pada dinding bangunan, terutamanya bangunan lama atau terbengkalai hasil ciptaan artis-artis muda yang ingin menyampaikan sesuatu mesej.

2. Mesej-mesej ini terpulanglah kepada orang yang membuatnya, ia boleh jadi sesuatu yang positif begitu juga sebaliknya.

3. Kreativiti artis-artis sebegini hari ini semakin rancak sehinggakan ada antara mereka yang dipanggil untuk memaparkan hasil seni mereka di bandaraya-bandaraya utama di seluruh negara.

4. Mural-mural yang mempamerkan tema-tema kemerdekaan, perpaduan, kesejahteraan dan sebagainya ini bukan saja mampu menarik perhatian dan menjadi tarikan pelancong, ia turut menyemai perasaan dan semangat positif dalam jiwa masyarakat.

5. Baru-baru ini, sekumpulan artis kelahiran Sabah telah bekerjasama dalam satu projek mural di tengah bandaraya Kota Kinabalu. Mereka sepakat untuk membawakan tema pemuliharaan haiwan-haiwan yang semakin pupus di Sabah seperti beruang madu, badak sumbu, monyet bangkatan dan kera hantu.

6. Mereka mahu membangkitkan kesedaran umum tentang haiwan-haiwan yang mungkin tidak akan wujud lagi pada masa hadapan sekiranya sikap tamak haloba manusia tidak dibendung.

7. Saya puji usaha yang diketuai Kenji Chai, seorang anak Sandakan yang semakin menempa nama dalam arena seni antarabangsa. Anak-anak muda ini tidak melakukan vandalisme untuk menyampaikan mesej-mesej mereka, sebaliknya menghiasi dinding-dinding gudang yang terbiar dan usang di sepanjang Jalan Tanjung Lipat.

8. Saya turut berbangga usaha mereka ini semakin mendapat perhatian ramai termasuk pelancong-pelancong asing yang datang ke Sabah untuk menelusuri kepelbagaian etnik, budaya, agama dan kecantikan bumi Sabah.

Sources:

https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2019/11/10/sabahs-vanishing-wildlife-nightmare-hits-kota-kinabalu-streets/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *