Pengajaran Dari Pilihan Raya Umum United Kingdom

1. Pilihan raya umum di United Kingdom baru-baru ini adalah sangat bersejarah atas beberapa sebab.

2. Pertama sekali, Parti Konservatif yang diterajui Boris Johnson telah menang bergaya dan kemenangan ini adalah yang terbaik untuk mereka dalam tempoh 30 tahun.

3. Keduanya, pilihan raya kali ini sebenarnya adalah referendum kedua untuk Brexit, walaupun bukanlah secara rasmi.

4. Dengan keputusan ini, United Kingdom akan akhirnya meninggalkan Kesatuan Eropah pada 31 Januari 2020.  Pasaran saham di sana memberikan reaksi positif selepas mengalami ketidaktentuan selama bertahun-tahun.

5. Secara ringkasnya, pengundi-pengundi British hanya mahukan resolusi segera kepada satu persoalan yang tidak terjawab selama bertahun-tahun.

6. Penganalisa menjangkakan keputusan akan menjadi 50/50 atau berlakunya Parlimen tergantung seperti yang belaku pada 2010 dengan parti-parti kecil membentuk pakatan dengan sama ada Parti Konservatif atau Parti Buruh untuk membentuk kerajaan.

7. Ternyata jangkaan tersebut meleset dan ini membuktikan bahawa tiada siapa yang benar-benar memahami kehendak pengundi. Jelasnya, pengundi-pengundi telah mula bosan dan mahukan tindakan segera daripada Kerajaan.

8. Malaysia harus belajar dari situasi yang berlaku di United Kingdom ini. Kita mungkin berfikir bahawa kita memahami fikiran pengundi, tapi sebenarnya kita tidak memahami mereka. Dan apabila pengundi-pengundi mula bosan, mereka akan melakukan sesuatu yang akan mengejutkan kita.

9. Di Malaysia, kita panggil ini sebagai tsunami. Di United Kingdom, mereka panggilnya gempa bumi. Tidak kiralah tsunami atau gempa bumi, pengundi-pengundi mampu menggegarkan negara sekiranya kita gagal melaksanakan tanggungjawab, atau mengabaikan keperluan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *