Selamat Datang 2020

1. Tahun Baru 2020 tiba untuk mengajak kita rakyat Malaysia meraikan segala pencapaian dan kejayaan yang telah kita kecapi sepanjang tahun 2019.

2. Pada masa sama, ia turut mengajak kita untuk melihat semula segala cabaran yang telah kita lalui dan merancang pembaharuan atau pembetulan yang sepatutnya agar 2020 menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

3. Negara kita telah melalui satu perubahan yang besar semenjak Mei 2018. Sepanjang 2019 pula, kita mengecapi pelbagai kejayaan dan menghadapi pelbagai cabaran di sebalik latar belakang perubahan pasca-PRU 14.

4. Cabaran paling utama, pada pandangan saya, adalah ugutan terhadap keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, budaya dan identiti.

5. Saya berasa sedih kerana lanskap politik negara mula menjerumus ke arah perpecahan dan politik ekstrim. Nilai-nilai kesederhanaan yang menjadi landasan kepada perpaduan nasional sudah mula diketepikan atau dilupakan.

6. Penyebaran fitnah serta berita palsu turut sama menambah ugutan terhadap perpaduan nasional. Penggunaan meluas media sosial yang sepatutnya membawa kebaikan telah disalahguna oleh sesetengah pihak demi mencapai hasrat mereka.

7. Dalam menyambut kedatangan 2020, marilah kita semua anak-anak Malaysia tidak kira apa pun latar belakang untuk kembali menyemai bibit persaudaraan, persefahaman dan perpaduan yang selama ini menjadikan Malaysia terkenal di serata dunia.

8. Kita harus terus melangkah ke hadapan dan berani berhadapan dengan cabaran baru, dan pada masa yang sama menenggelamkan sahaja unsur-unsur negatif yang merosakkan jati diri peribadi dan negara. Ingatlah, sesebuah negara hanya akan mencapai kejayaan apabila rakyatnya bersatu hati dan sama-sama bekerja ke arah kemakmuran.

9. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2020 kepada semua rakyat Malaysia tidak kira di mana anda berada. Semoga usaha kita diberkati dan kehidupan kita terus dirahmati, insya-Allah.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *