Peperangan, Kemusnahan & Kemanusiaan

1. Salah satu daripada tarikan Sabah adalah Taman Peringatan Sandakan atau Sandakan Memorial Park yang sebenarnya telah lama dirasmikan pembukaannya iaitu pada 1999.

2. Taman Peringatan ini dibina di atas tapak sebenar Kem Sandakan iaitu kem tahanan tawanan-tawanan perang dari Australia, Britain dan juga askar-askar tempatan Sabah yang berkhidmat untuk Tentera Kolonial British sewaktu Pendudukan Jepun dari 1942 hingga 1945.

3. Dikatakan seramai 2,000 tawanan perang Australia dan 770 dari Britain telah ditempatkan di Kem Sandakan. Di Kem Sandakan inilah bermulanya episod “Sandakan Death Marches” atau Kawad Maut Sandakan di mana seramai 2,434 tahanan perang telah dipaksa untuk berkawad sejauh 260 kilometer ke Ranau.

4. Sehingga penghujung Perang Dunia Kedua, dikatakan kesemua tahanan-tahanan perang tersebut telah maut kecuali enam askar Australia yang berjaya melarikan diri.

5. Taman Peringatan Sandakan didirikan demi memperingati semangat keberanian tawanan-tawanan perang tersebut, di samping mengingatkan kita kepada ancaman peperangan terhadap keamanan dan kemanusiaan.

6. Dalam Abad Ke-21 ini sahaja, dunia telah menyaksikan pelbagai konflik peperangan di Iraq, Kongo, Syria, Nigeria, Sudan, Afghanistan, Yaman dan Ukraine yang telah mengorbankan banyak nyawa dan membawa kemusnahan kepada negara yang terbabit.

7. Kita menyambut tahun baru 2020 dengan satu lagi ancaman peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat di Timur Tengah. Serangan dan serangan balas antara dua kuasa ini menampakkan bahawa hubungan antara kedua negara ini berada di hujung tanduk.

8. Peperangan boleh bermula bila-bila masa sahaja, dan ramai menjangkakan bahawa ia berpotensi untuk menjadi antara salah satu konflik paling buruk dalam sejarah. Malaysia bakal menerima kesan negatif dari tekanan ekonomi yang diakibatkan oleh konflik ini.

9. Sama-samalah kita berdoa agar konflik ini tidak berlarutan sehingga mencetuskan peperangan yang boleh menggugat keamanan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat dunia, termasuklah di Malaysia.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *