Virus Berita Palsu

1. Bulan lepas saya ada menyentuh tentang bahaya penularan ‘virus’ berita palsu yang bukan saja berlaku di Malaysia, malah di serata dunia.

2. Media sosial adalah lubuk penyebaran berita palsu. ‘Jurutera-jurutera’ berita palsu kini semakin licik untuk mengambil kesempatan dari ‘vulnerability’ dan kecenderungan orang ramai untuk segera mengongsikan apa jua yang sensasi.

3. Hari ini kerajaan Malaysia berhadapan pelbagai gejala penyebaran berita palsu yang bukan hanya bermotifkan politik, malah berniat jahat untuk membawa panik, kemarahan serta perbalahan dalam kalangan rakyat.

4. Penularan wabak Koronavirus dari negara China ke beberapa buah negara termasuk Malaysia menjadi satu lagi medan bagi ‘jurutera-jurutera’ berita palsu ini untuk menimbulkan panik dan kegelisahan rakyat. Ada juga yang menimbulkan isu yang berbaur perkauman.

5. Dalam kita mencari maklumat tentang wabak ini di alam maya, kita akan menjumpai pelbagai berita, cerita, pendapat, meme dan sebagainya yang berhubung kait dengan wabak ini.

6. Di Sabah, telah tular ‘berita’ kononnya seorang budak lelaki dari China telah dikuarantin di sebuah hospital di Likas kerana dijangkiti Koronavirus. Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi dengan segera menafikan berita palsu ini.

7. Berita-berita palsu tentang Koronavirus turut tersebar di Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Terengganu sehinggakan Jabatan Kesihatan di negeri-negeri tersebut terpaksa menafikannya demi membendung panik dalam kalangan rakyat.

8. Hari ini PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk memberi amaran kepada mereka yang membuat dan menyebarkan berita palsu berkaitan wabak Koronavirus. Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

9. Dalam kita berjaga-jaga untuk menghindari jangkitan virus Koronavirus yang belum ditemui penawarnya ini, sebaiknya juga kita melindungi diri kita daripada virus berita palsu.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *