Bila Khabar Angin Mengisi Kekosongan Maklumat

1. Dalam fizik, kita belajar bahawa apabila wujudnya satu ruang vakum, sesuatu akan hadir untuk mengisi ruang tersebut.

2. Hal yang sama juga berlaku dalam industri maklumat. Apabila wujudnya ‘information vacuum’, sesuatu akan hadir untuk mengisi ruang tersebut. Lazimnya, ia diisikan dengan khabar angin atau maklumat palsu.

3. Dunia internet memburukkan lagi keadaan. Jika sebelum ini maklumat sampai kepada kita selepas beberapa hari, atau sekurang-kurangnya 24 jam, kini segala-galanya sampai kepada kita secara langsung atau ‘real time’.

4. Apabila kerajaan atau pihak berkuasa berkaitan lewat bertindak untuk memberikan respon atau penafian, keadaan menjadi semakin parah. Dengan ketiadaan respon atau penafian, khabar angin atau maklumat palsu tersebut akan dianggap sahih.

5. Antara tugas yang paling sukar bagi kerajaan-kerajaan hari ini adalah menguruskan persepsi. Lebih menyulitkan lagi apabila kerajaan bersikap tidak telus dan tidak memberitahu rakyat segala-galanya, atau tidak memberitahu rakyat apa-apa langsung.

6. Jika pun kerajaan bercakap benar, rakyat akan menganggap kerajaan bersalah sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

7. Sebelum kita ada internet dan media sosial, akhbar memainkan peranan sebagai ‘trustee of information and public opinion’. Akhbar adalah ‘conscience’ kepada sesebuah negara dan ia bertindak sebagai instrumen semak dan imbang terhadap kerajaan dan ahli politik.

8. Namun pada waktu itu akhbar bersifat bukan partisan. Hari ini, akhbar tidak lagi neutral dan sering dijadikan alat propaganda oleh pihak kerajaan atau pihak yang menentang kerajaan.

9. Oleh yang demikian, kepercayaan terhadap media arus perdana sudah tidak lagi wujud. Dan apabila rakyat sudah tidak mempercayai kerajaan atau media arus perdana, mereka akan beralih kepada media alternatif dan mempercayai pembohongan dan khabar angin. Inilah yang akan terjadi dalam mana-mana situasi sekiranya wujud ‘information vacuum’.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *