Federalisme Di Malaysia

1. Prinsip teras dalam federalisme di Amerika Syarikat menyatakan bahawa Perlembagaannya mengiktiraf kuasa negeri-negeri berdaulat sebagai bebas daripada kuasa persekutuan. Ia juga memberikan negeri pelbagai peranan dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.

2. Sebagai contoh, perwakilan negeri memilih Presiden Persekutuan, dan rakyat di setiap negeri menghantar wakil-wakil ke Senat. Rakyat boleh menggerakkan usaha meminda Perlembagaan menerusi negeri, namun Perlembagaan menghadkan kuasa-kuasa tertentu, sebagai contoh mengisytiharkan perang, kepada Kerajaan Persekutuan.

3. Pada asalnya, Tanah Melayu atau Malaysia tidak wujud. Apa yang wujud adalah Negeri-Negeri Selat (dibentuk pada 1826), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (1895), dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (1909). Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam Persekutuan ini sehingga 1963.

4. Pada 1909, Siam menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada British dan perjanjian-perjanjian telah ditandatangani antara Great Britain dan keempat negeri tersebut.

5. Walaupun begitu, negeri-negeri tersebut tidak serta merta menerima penasihat British. Kelantan menerima seorang penasihat pada 1910. Terengganu hanya menerima seorang ejen dengan bidang kuasa yang terhad, dan hanya menerima penasihat British pada 1919. Kedah menunda sehingga 1923 dan Perlis pula sehingga 1930, di mana kedua negeri ini telah mengambil langkah yang melindungi mereka daripada campurtangan British.

6. Britain telah bersetuju ia tidak akan memindahkan kuasa kepada mana-mana kuasa lain dan bahawa wilayah dari mana-mana negeri tidak akan digabungkan atau disatukan dengan mana-mana wilayah yang lain tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan.

7. Sama seperti Johor, keempat-empat negeri ini enggan menyertai Persekutuan kerana khuatir mereka akan kehilangan kedaulatan, lalu keempat-empat negeri ini dihubungkan di bawah Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

8. Pada 1948, Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk dengan gabungan Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah sebuah Kerajaan Persekutuan dengan parameter-parameter yang jelas takrifannya.

9. Sebagai contoh, kesemua sumber negeri (mineral, minyak, gas, air, tanah, pembalakan, dsb.) adalah milik negeri sementara hal-hal berkaitan hubungan antarabangsa, keselamatan dan pertahanan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

10. Kerajaan Persekutuan mengambilalih kutipan cukai dan memberikan wang kepada kerajaan negeri menerusi geran, pinjaman dan perbelanjaan pembangunan.

11. Lama kelamaan, bidang kuasa negeri-negeri semakin terhakis, dan kemuncaknya terjadi apabila termaktubnya Akta Pembangunan Petroleum 1974 di mana petroleum dan gas dinasionalisasi oleh Akta Parlimen.

12. Kita perlu merujuk semula Perjanjian Kemerdekaan dan seterusnya Perjanjian Malaysia untuk menjelaskan sebarang salah tanggapan dan memulihkan semangat syarat-syarat asal pembentukan Persekutuan.

13. Kerajaan Persekutuan harus sedar bahawa apa yang ia lakukan untuk negeri-negeri bukanlah sedekah tetapi kewajipan dan tanggungjawab terhadap negeri-negeri yang telah bersetuju untuk bergabung di bawah Persekutuan.

5 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *