Gelombang Kedua Covid-19

1. Dalam kita masih lagi sibuk memperkatakan tentang kejatuhan kerajaan PH dan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM kelapan, kita seakan-akan lupa kepada penularan wabak virus Korona atau Covid-19 yang nampaknya semakin merbahaya.

2. Minggu lepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan amaran yang tidak boleh dipandang ringan lagi oleh mana-mana negara pun di dunia. “No country should assume it won’t get cases, that would be a fatal mistake, quite literally,” kata Setiausaha Agung WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

3. Di Jepun terdapat satu kes di mana seorang wanita disahkan positif Covid-19 buat kali kedua. Negara penganjur Olimpik Tokyo 2020 itu kini sedang giat berbincang dengan WHO untuk menentukan sama ada Olimpik 2020 patut diteruskan atau sebaliknya.

4. Di Iran, kerajaan mengambil keputusan untuk menutup panggung wayang, menunda acara-acara kebudayaan manakala di beberapa buah bandaraya, masjid-masjid ditutup pada hari Jumaat. Salah seorang yang dijangkiti termasuklah seorang Naib Presidennya sendiri, Masoumeh Ebtekar.

5. Sehingga 4 Mac 2020, jumlah jangkitan Covid-19 di Malaysia telah meningkat kepada 50 kes, di mana 14 kes baharu telah disahkan semalam oleh Kementerian Kesihatan.

6. Gelombang kedua wabak ini dikatakan bermula Februari 27, dengan 28 kes berbanding 22 dalam gelombang pertama. Ia dikatakan bermula daripada Pesakit ke-26, seorang ahli lembaga pengarah UDA Holdings yang pernah menghadiri mesyuarat di Shanghai. Kesemua 14 kes baharu tersebut dikaitkan dengan Pesakit ke-26 tersebut.

7. Berita penularan yang tidak kita sangkakan ini boleh membawa ancaman panik. Namun kita berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan yang mengambil langkah drastik dalam mengawal keadaan.

8. Seramai 215 invidu yang pernah berurusan dengan pesakit tersebut telah dikesan oleh Kementerian Kesihatan, manakala langkah-langkah disinfeksi telah pun dilaksanakan di lokasi-lokasi berisiko.

9. Namun, ini tidaklah bermakna kita boleh mengambil ringan terhadap ancaman wabak ini. Sebaiknya kita terus berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Saya menasihati anda untuk kerap mengikuti kenyataan-kenyataan akhbar terbaru yang disiarkan oleh KKM di laman http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2271.

5 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *