Covid-19: Peliharalah Diri & Keluarga Anda

1. Itali dan Iran adalah dua negara di luar China yang mengalami penularan wabak Covid-19 paling teruk hari ini. Setakat 14 Mac, Itali merekodkan sejumlah 17,660 kes dengan 1,266 kematian sementara Iran pula ada 12,729 kes dengan 611 kematian.

2. Malaysia pula, walaupun setakat hari ini tiada rekod kematian, telah meningkat ke 428 kes. Jika kita mengikuti perkembangan berita, maka kita tahu angka ini akan meningkat lagi saban hari.

3. Kita berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pihak kerajaan sebelum ini dan hari ini yang telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membendung penularan wabak ini. Saya percaya banyak lagi langkah-langkah pencegahan yang akan diumumkan selari dengan ancaman bahaya yang dibawa oleh Covid-19.

4. Jika kita lihat statistik di Itali, penularan wabak ini dan angka kematian telah meningkat dengan begitu drastik sekali. Tidak sampai sebulan pun, iaitu pada 18 Februari lepas negara tersebut hanya merekodkan 3 kes dengan tiada kematian.

5. Menurut majalah Time, kadar kematian akibat Covid-19 di Itali (4%) adalah lebih tinggi daripada kadar purata kematian akibat Covid-19 yang diisytihar oleh WHO (3.4%) bulan ini.

6. Itali adalah sebuah negara dengan populasi warga emas yang paling tinggi di dunia. Ia mempunyai ramai warga yang berusia lebih 65 tahun. Menurut National Health Institute (Itali), umur purata kematian adalah 81 tahun di mana kebanyakan mereka telah pun menghidapi penyakit-penyakit lain sebelum dijangkiti Covid-19.

7. Dari statistik ini, jelas kepada kita bahawa warga emas atau mereka yang menghidap penyakit-penyakit lain adalah golongan yang paling mudah terancam sekali.

8. Selain dari mengambil langkah-langkah pencegahan yang disarankan oleh KKM untuk diri kita sendiri, kita juga harus mengambil langkah-langkah yang sama dalam memastikan ibu bapa, datuk nenek dan rakan-rakan kita yang lain turut selamat daripada dijangkiti.

9. Peliharalah keluarga kita, kejiranan kita, masyarakat kita dan seterusnya negara kita daripada bahaya Covid-19. Look after yourself and your loved ones.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *