COVID-19: Secara perbandingan, prestasi Malaysia bagus

1. Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia telah melebihi satu juta orang dengan angka kematian hampir seramai 60,000 orang dan ini akan meningkat lagi sekiranya kita tidak berawas. (Anda boleh lihat statistik secara ‘real time’ di covidvisualizer.com)

2. Statistik ini sangat menakutkan namun pandemik ini tidaklah seteruk wabak Spanish Flu sekitar 1918-1920 yang telah menjangkiti 500 juta orang di seluruh dunia dan membunuh kira-kira 50 juta orang atau 10% daripada penghidap.

3. Amerika Syarikat dan United Kingdom menganggarkan bahawa lambat laun 60%-70% penduduk dunia akan dijangkiti sebelum virus ini dapat dibasmi. Ini yang telah diumumkan oleh Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Boris Johnson dua minggu dahulu.

4. Pakar-pakar pula berpendapat walaupun virus ini dapat dibasmi, ia mungkin akan kembali semula secara bermusim setiap tahun, sama seperti jenis-jenis flu yang lain. Melihat kepada keadaan masa kini, ini bermakna ramai manusia akan dijangkiti virus COVID-19 dan ramai juga akan meninggal dunia.

5. Ini sangat membimbangkan dan tidak boleh dipandang ringan meskipun sekiranya statistik tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar atau sengaja diperbesarkan. Tambahan pula, walau satu kematian pun tidak sepatutnya diterima, ini kan pula 10,000 atau 20,000 kematian.

6. Di sebalik kebimbangan global ini, situasi di Malaysia bolehlah dikira baik jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

7. Kita harus ingat bahawa ini adalah kali pertama kita menghadapi krisis sebesar ini dan banyak langkah telah, sedang dan akan diambil secara ‘trial and error’.

8. Namun, kejayaan hanya boleh dicapai dengan kerjasama setiap pihak dan kita tidak boleh melepaskan beban ini kepada kerajaan semata-mata.

9. Selepas kita berjaya menewaskan pandemik ini, kita akan berhadapan pula dengan satu lagi krisis, iaitu krisis ekonomi. Sebelum krisis ini, ekonomi dunia telah pun mengalami kelembapan dan jika krisis ini berlanjutan, dunia bakal berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang teruk seperti tahun 1930an dulu.

10. Keadaan akan bertambah sukar sebelum ianya dapat diperbaiki semula. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyediakan sejumlah ASD 1 trilion demi menguruskan kesan ekonomi akibat Covid-19.

11. Namun, jumlah sebesar itu pun belum tentu dapat melegakan keadaan, lebih-lebih lagi sekiranya krisis ini berterusan. Rakyat Malaysia perlu bersedia, bersabar dan bertabah untuk menghadapi masa depan yang susah dan sama-sama kita mengatasi cabaran ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *