‘New Normal’ Dalam Menghadapi Covid-19

1. Saya menyambut baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 28 April.

2. Selepas hampir sebulan dalam PKP, Malaysia menyaksikan kadar jangkitan yang stabil dan kadar penyembuhan yang memberangsangkan (42.11%). Kadar kematian pula adalah pada 1.61%, antara yang paling rendah di dunia.

3. Dalam pada itu, kita berhadapan dengan ‘new normal’ atau kebiasaan baharu yang mungkin meresahkan kita. Ini tidak terhad kepada amalan-amalan biasa yang kita lakukan semata-mata.

4. Semalam, PM Tan Sri Muhyiddin menyebut beberapa contoh mudah seperti tidak lagi berjabat tangan apabila bertemu kenalan dan kerap membasuh tangan.

5. Dalam ‘new normal’ ini, kita terpaksa mengubah tatacara kita dalam banyak perkara – cara kita berbelanja, belajar, bekerja, bersosial dan berkomunikasi, antara lain.

6. Dalam ekonomi yang lembap, kita terpaksa berjimat cermat. Perniagaan pula perlu memikirkan kaedah baru untuk kelangsungan mereka. Dengan penutupan sekolah dan institusi pengajian, pelajar terpaksa belajar secara online.

7. Ramai pekerja yang mula bekerja di rumah. Kita tidak lagi makan di luar, berhimpun untuk bertemu kenalan, bercuti ke luar negara atau menghadiri majlis-majlis keramaian.

8. Kita tidak lagi boleh ke majlis-majlis keagamaan. Dengan ketibaan Ramadan dan Syawal tidak lagi lama, ‘new normal’ ini pasti mendatangkan sedikit rasa hiba. Namun, ini harus kita terima dengan hati terbuka.

9. Ingatlah, belum ada satu set peraturan yang tetap dalam ‘peperangan’ kita melawan wabak ini. Kajian-kajian saintifik di sebaliknya sedang berevolusi dan mungkin berubah-ubah.

10. Maka itu kita harus membuat keputusan-keputusan yang sukar. Selagi vaksin Covid-19 belum ditemui, kita harus terima hakikat bahawa adalah sukar, atau mungkin mustahil untuk kita kembali kepada kebiasaan lama kita.

11. Sabarlah, Malaysia. Kita terus #StayAtHome untuk dua minggu lagi.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *