Datuk Dr. Noor Hisham & Team Malaysia

1. Setiap hari bila kita mencari berita tentang Covid-19, kita berjumpa dua statistik yang nampak agak berbeza. Pertama adalah statistik jangkitan di seluruh dunia, dan kedua pula adalah statistik di Malaysia.

2. Kes di seluruh dunia sudah mencecah 2,248,891. Daripada ini, seramai 154,145 telah meninggal dunia. Di Eropah sahaja sudah 1,029,214 orang dijangkiti dan 96,228 meninggal dunia. Pertambahan kes yang pantas dan berganda dalam statistik dunia ini memang menakutkan.

3. Di Malaysia, hari kedua fasa ketiga PKP menyaksikan jumlah jangkitan yang paling rendah, iaitu 69 kes. Kadar kesembuhan pula melonjak naik kepada 56.5%. Statistik 17 April menunjukkan 2,198 kes aktif sedang dirawat daripada keseluruhan 5,251 kes.

4. Statistik di Malaysia ini jauh lebih rendah daripada ramalan pakar bulan lepas. WHO pada 2 April turut meramalkan jumlah kes di Malaysia akan mencapai kemuncaknya pada pertengahan April. Namun ia tidak berlaku, alhamdulillah.

5. Minggu ini pula, stesen China Global TV Network menobatkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah sebagai salah seorang daripada tiga doktor terbaik dunia dalam pendekatan menangani Covid-19. Pengiktirafan ini secara tidak langsung turut memperakui kewibawaan dan kesiapsiagaan pasukan kesihatan negara.

6. Datuk Dr. Noor Hisham memperakui sendiri fakta ini. “Sebenarnya pengiktirafan ini bukan untuk saya, tetapi lebih kepada negara. Kami di KKM bergerak sebagai satu pasukan,” kata beliau dengan penuh rendah diri.

7. Apa yang jelas, semangat berpasukan front liners kita memang tidak boleh disangkal lagi. Dr. M Murallitharan menulis di FMT, ” The front line is made up of many heads, hearts and hands, functioning as one seamless unit, from the medical specialists to the medical officers, house officers, assistant medical officers, nurses, nursing care aides, health inspectors, lab technicians.”

8. Pembendungan awal Malaysia ini turut disebabkan oleh ketersediaan infrastruktur kesihatan serta pembangunan sektor kesihatan yang boleh dikira antara yang terbaik di dunia. Tindakan kerajaan melaksanakan PKP juga membawa impak besar. Namun semua ini tidak bermakna sekiranya rakyat Malaysia tidak bersatu hati untuk duduk di rumah dan sama-sama berjuang menentang Covid-19.

9. Sabarlah, kita belum menang lagi. Jika kita semua berusaha dan berjuang sebagai satu pasukan, insya-Allah kita akan dapat mengatasi cabaran getir ini. Syabas dan terima kasih kepada Datuk Dr Noor Hisham dan #TeamMalaysia!

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *