Ramadan & Perintah Kawalan Pergerakan

1. Hari ini Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia, dan insya-Allah umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa esok, 24 April 2020.

2. Lazimnya pada bulan Ramadan kita keluar beramai-ramai untuk beribadat di masjid, ke bazar membeli juadah berbuka, menziarahi rakan atau sanak saudara dan ramai juga yang keluar mengerjakan ibadah kebajikan demi mengambil berkat bulan yang mulia ini.

3. Namun tahun ini suasana Ramadan di seluruh dunia adalah cukup berbeza. Negara-negara Timur Tengah akan menyambut Ramadan dalam suasana suram tanpa solat berjemaah di masjid atau mengadakan majlis berbuka puasa.

4. Di Malaysia, Ramadan tiba sewaktu kita masih di dalam fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan. Bukan sahaja ini kali pertama negara kita melaksanakan PKP, ini juga kali pertama umat Islam di Malaysia terpaksa mengimarahkan Ramadan dalam keadaan yang amat berbeza.

5. Walaupun jumlah jangkitan Covid-19 di Malaysia semakin berkurangan, KKM menasihatkan rakyat Malaysia agar terus mematuhi PKP.

6. Kita perlu menyesuaikan diri dengan “new normal” Ramadan. Kita harus terima hakikat bahawa kita tidak boleh berkumpul beramai-ramai untuk solat Terawih atau berbuka puasa bersama sanak saudara atau rakan-rakan.

7. Sebaliknya, kita dinasihati agar menggunakan peluang ini untuk menjalankan aktiviti dan amalan lazim Ramadan bersama keluarga di rumah masing-masing. Masaklah di rumah dan nikmatilah berbuka puasa bersama keluarga.

8. Hikmahnya langkah ini dapat melindungi keluarga kita terutamanya ibu bapa yang sudah tua dan anak-anak kecil daripada dijangkiti Covid-19. Kita berdoa agar Malaysia dijauhi daripada kluster-kluster baharu yang berpunca daripada amalan-amalan biasa Ramadan.

9. Pada kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua umat Islam di Malaysia. Jagalah kesihatan diri dengan mengamalkan pemakanan berkhasiat ketika bersahur dan berbuka.

10. Semoga kita mendapat keberkatan Ramadan tahun ini, dan semoga negara kita segera bebas dari cengkaman Covid-19, insya-Allah.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *