Selamat Hari Pekerja 2020

1. Ramai antara kita yang mungkin tidak tahu bahawa Hari Pekerja disambut sebagai peringatan tentang kejayaan sosial dan ekonomi bagi pergerakan pekerja.

2. Tarikh 1 Mei setiap tahun dipilih kerana pada tahun 1884, Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh telah menuntut lapan jam waktu bekerja di Amerika Syarikat dan ia mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 1886. Sebelum itu, pekerja terpaksa bekerja 16 jam sehari.

3. Penghujung tahun lepas dan sepanjang 5 bulan tahun ini, dunia menghadapi cabaran yang getir. Wabak Covid-19 telah melemahkan institusi-institusi sosial dan ekonomi setiap negara di dunia. Malaysia juga tidak terkecuali.

4. Namun alhamdulillah, atas dasar dan tindakan kerajaan dan juga komitmen yang ditunjukkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan, kita berjaya mengawal wabak ini dari terus merebak. Usaha-usaha ini masih terus dilaksanakan.

5. Tulang belakang kepada kejayaan ini sudah pastilah pekerja-pekerja barisan hadapan kita. Mereka bekerja siang malam tanpa mengira penat lelah. Ketika majoriti rakyat Malaysia duduk di rumah, mereka keluar ke tempat kerja setiap hari dan menghadapi pelbagai risiko jangkitan.

6. Pekerja-pekerja barisan hadapan ini menghadapi tekanan, keletihan, ketakutan namun setiap hari mereka berbekalkan harapan. Kita mungkin mengadu kebosanan atau melalui gangguan mental kerana terpaksa berkurung di rumah, namun percayalah pengorbanan kita memberikan harapan kepada pekerja-pekerja barisan hadapan ini.

7. Tidak lupa juga kepada pekerja-pekerja lain yang tetap bekerja demi kelangsungan sosioekonomi negara. Tanpa mereka, sukar untuk kita meneruskan kehidupan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Kudrat dan semangat mereka membolehkan kita membeli barangan keperluan, membeli makanan, mengisi minyak kereta, mengeluarkan wang di bank dan sebagainya. Kita akan lumpuh sepenuhnya tanpa mereka.

8. Maka tahun ini saya memberi dedikasi khusus Hari Pekerja kepada pekerja-pekerja di Malaysia yang bertungkus lumus menjadi tulang belakang kepada “peperangan” kita terhadap wabak Covid-19. You are our heroes and you are not alone.

9. Dan kepada seluruh rakyat Malaysia amnya, selamat menyambut Hari Pekerja. Semoga kita semua dilindungi dan dibebaskan segera dari ancaman wabak ini.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *