Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat

1. Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini, selepas 46 hari rakyat Malaysia melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2. Dengan pelaksanaan PKPB ini, hampir semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi kecuali perniagaan yang membabitkan orang ramai seperti pawagam, kelab malam, pusat rekreasi, konsert dan sebagainya.

3. Aktiviti sukan yang melibatkan seorang atau beberapa orang seperti joging, berbasikal, golf dan badminton juga dibenarkan namun sukan yang melibatkan penonton seperti bolasepak masih tidak dibenarkan.

4. Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

5. Aktiviti keagamaan  yang melibatkan ramai orang juga masih tidak dibenarkan termasuk solat berjemaah dan tarawih. Begitu juga dengan acara rumah terbuka, solat raya atau sebarang aktiviti yang melibatkan perhimpunan.

6. Sekolah, kolej, universiti dan lain-lain institusi pendidikan masih tidak dibenarkan untuk dibuka. Pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan untuk urusan kerja atau untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

7. Anda boleh membaca dan memuat turun Garis Panduan Ekonomi Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang disiarkan di halaman https://www1.treasury.gov.my/index.php/banner/item/6250-garis-panduan-ekonomi-semasa-perintah-kawalan-pergerakan-bersyarat.html. Anda juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan MyTrace untuk memudahkan pengesanan kontak jangkitan Covid-19.

8. Walaupun PKPB memberikan sedikit kelegaan kepada kita memandangkan hampir semua sektor dibenarkan untuk beroperasi dan kita pula diberikan sedikit kelonggaran dalam aktiviti sosial, kita harus terus berhati-hati agar tidak berlaku gelombang penularan yang lebih besar.

9. Semalam, Malaysia mencatatkan 69 kes baharu di mana 57 daripadanya adalah jangkitan dalam negara. Ini bermakna virus ini masih merebak dalam kalangan rakyat tempatan.

10. Sekiranya kelonggaran yang diberikan semasa PKPB disalahguna maka tidak mustahil wabak ini akan kembali melonjakkan statistik kita ke angka yang lebih tinggi. Oleh itu, kita tidak harus melihat PKPB sebagai “perayaan” yang harus diraikan beramai-ramai. Kita perlu terus melihatnya sebagai satu garis panduan yang perlu dipatuhi.

11. Kita telah berjaya menempuh 47 hari dalam keterasingan daripada keluarga, rakan dan masyarakat. Kita perlu meneruskan amalan “norma baharu” ini sehingga negara benar-benar bebas dari Covid-19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *