Ramadan & Syawal Dalam Norma Baharu

1. Alhamdulillah hari ini masuk hari ke 18 umat Islam melaksanakan tuntutan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa sepanjang bulan Ramadan.

2. Sudah lebih dua minggu kita melalui Ramadan dalam norma baharu tanpa solat berjemaah di surau atau ke majlis berbuka puasa, dan ramai juga yang meraikan Nuzul Al-Quran dua hari lepas dengan membaca Al-Quran bersama keluarga di rumah.

3. Pada 5 Mei, iaitu sehari selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kita mencatat 30 kes baru Covid-19. Seterusnya 45 kes (6 Mei), 39 kes (7 Mei), 68 kes (8 Mei), 54 kes (9 Mei) dan semalam pula 67 kes baharu.

4. Statistik dua angka ini memberikan kita serba sedikit harapan bahawa kita berjaya mengawal penularan Covid-19. Ia juga satu petanda bahawa rakyat Malaysia mematuhi arahan PKP dan PKPB dengan baik.

5. Semalam PM mengumumkan pelanjutan PKPB sehingga 9 Jun. Ini bermakna kita akan menyambut Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sewaktu PKPB. Kita harus faham mengapa kita masih tidak dibenarkan untuk pulang merentas negeri untuk menyambut perayaan ini.

6. Namun, syukurlah kelonggaran yang diberikan pada waktu PKPB ini memberi peluang kepada kita untuk melakukan semula beberapa aktiviti yang sebelum ini kita tidak dapat lakukan.

7. Ibu bapa bersyukur apabila ramai anak-anak yang terkandas di kampus akhirnya diberi kebenaran untuk pulang ke rumah. Pasangan yang terpisah oleh pekerjaan kerana tidak boleh merentas negeri kini boleh pulang dengan kebenaran pihak berkuasa.

8. Tentang solat berjemaah di masjid seperti solat Jumaat, solat tarawih dan lima waktu, kerajaan sedang memperhalusi SOP tertentu yang boleh diamalkan oleh jemaah.Tunggulah pengumuman daripada Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing.

9. Peniaga pula menarik nafas lega apabila dapat meneruskan operasi setelah terkandas hampir dua bulan. Semua operasi perniagaan dan aktiviti sosial atau keagamaan harus dijalankan secara berhati-hati dengan pematuhan penuh kepada peraturan penjarakan sosial.

10. Inilah usaha kerajaan untuk melonjakkan semula aktiviti ekonomi sambil cuba membendung penularan gelombang baru Covid-19.

11. Bagi umat Islam, Insya-Allah Aidilfitri nanti kita akan dapat menziarahi sanak saudara dan rakan yang tinggal senegeri dengan kita, dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Walaupun ini bukanlah sambutan Aidilfitri yang biasa atau ideal untuk kita, anggaplah ia sebagai satu pengorbanan dari kita dalam memerangi wabak Covid-19.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *