Selamat Hari Guru 2020

  1. Hari Guru 2020 disambut dalam normal baharu tanpa majlis atau acara meriah yang meninggalkan kenangan manis kepada guru dan murid. Namun ini bukanlah bermakna penghargaan kita terhadap guru semakin terhakis atau berkurangan.
  2. Sama seperti sesi pembelajaran yang dibuat dalam talian di rumah, sudah pastilah murid tidak melepaskan peluang ini untuk menunjukkan kasih sayang dan penghargaan kepada guru secara maya.
  3. Tahun ini sangat mencabar kepada semua profesyen, dan profesyen pendidik juga tidak terlepas daripada kesan penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan/Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
  4. PKP menyaksikan sekolah serta IPT ditutup sejak 18 Mac lepas di mana proses pembelajaran mula dikendalikan secara dalam talian di rumah. Ini membawa cabaran baharu kepada guru dan murid.
  5. Nukleus kepada pembelajaran dalam talian ini sebenarnya telah dimulakan oleh Kementerian Pendidikan menerusi program Sekolah Bestari yang melibatkan 88 buah sekolah.
  6. Ia kemudiannya diperluaskan kepada semua sekolah menerusi program-program Pembestarian Sekolah, Persekitaran Pembelajaran Maya Frog dan kini pula Pelantar Pembelajaran Digital.
  7. PKP/PKPB membuka peluang kepada guru dan murid untuk meneroka program-program ini dengan lebih meluas. Jika dulu hanya sebilangan guru sahaja yang menggunakan kaedah ini, kini setiap guru boleh mengambil peluang untuk meneroka kaedah pembelajaran baharu bersesuaian dengan pembangunan teknologi dan situasi semasa.
  8. Guru juga boleh menilai kapasiti serta infrastruktur sedia ada, dan membuat apa-apa keputusan untuk menambahbaik atau memperbaiki kelemahan yang timbul demi kebaikan masa depan. Kementerian Pendidikan pula perlu mewujudkan dan memperkukuhkan dasar pembelajaran dalam talian yang jelas agar semua pihak bersedia sekiranya krisis seumpama Covid-19 berulang.
  9. Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan pendidik ialah apabila PKP/PKPB ditamatkan dan sekolah dibuka semula nanti. KPM telah pun mengumumkan bahawa satu kelas hanya boleh menempatkan purata maksimum antara 16 dan 17 murid pada satu masa.
  10. Adalah menjadi tanggungjawab setiap pihak, kementerian, guru, murid serta ibu bapa untuk memastikan segala SOP dan amalan penjarakan sosial dilaksanakan. Cabaran kepada pendidik adalah untuk memastikan murid bersedia menghadapi persekolahan dalam normal baharu serta melihat garis asas dan bagaimana ia dapat ditambahbaik.
  11. Insya-Allah, saya percaya guru-guru kita mampu melaksanakannya. Saya mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik di Malaysia. Semoga #TerusMelangkah dalam membina generasi baharu yang berilmu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *