Antara Tradisi & Nyawa

1. Dengan Aidilfitri yang semakin dekat dengan kita, sudah tentulah ramai antara kita yang merindui keluarga di kampung. Memang sudah menjadi tradisi bagi kita untuk pulang ke kampung, malah ada juga antara kita yang hanya pulang ke kampung setahun sekali sewaktu Aidilfitri.

2. Namun kini situasi kita telah jauh berubah. Cabaran dan ancaman yang kita dan seluruh dunia sedang hadapi ketika ini memaksa kita untuk mengubah normal-normal kehidupan, dan ini termasuklah dalam menyambut Aidilfitri.

3. Majlis Keselamatan Negara kerap mengingatkan orang ramai bahawa pergerakan rentas negeri masih tidak lagi dibenarkan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

4. Namun menurut PDRM, hampir 2,500 kereta telah cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dan diarahkan untuk patah balik. Ingatlah, kebenaran untuk merentas negeri hanya diberikan untuk kes kecemasan sahaja, dan pihak polis menyimpan rekod nama mereka yang telah membuat permohonan.

5. PDRM juga telah mewujudkan sebuah pasukan khas untuk memeriksa dan memantau demi memastikan tiada yang berjaya meloloskan diri untuk pulang ke kampung. Pasukan khas ini turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia.

6. Bayangkanlah hari raya anda jika anda ditahan sewaktu bersama keluarga. Sudah tentu ia akan mendatangkan lebih banyak lagi kesulitan untuk anda, dan juga untuk keluarga anda di kampung.

7. Namun kesulitan tersebut amatlah ringan jika dibandingkan dengan potensi anda untuk menyebarkan Covid-19 kepada keluarga di kampung.

8. Seperti yang kita maklum, majoriti pesakit atau pembawa virus Covid-19 tidak menunjukkan sebarang gejala. Banyak kes telah berlaku di mana ahli keluarga dijangkiti apabila ada ahli keluarga yang pulang. Lebih menyedihkan, ada juga yang meninggal dunia.

9. Peraturan yang tegas ini dilaksanakan untuk melindungi anda dan keluarga anda. Ia tidak berniat untuk mengongkong kebebasan anda. Mungkin anda rasa kekurangan apabila tidak dapat bersama keluarga tercinta di kampung, namun yakinlah ia dilaksanakan untuk melindungi keluarga anda.

10. Saya pasti ibu bapa dan sanak saudara di kampung juga memahami situasi ini. Malahan ramai juga yang tegas tidak membenarkan anak-anak untuk pulang. Sambutlah Aidilfitri ini dengan cara baharu, normal baharu. Ini hanyalah sementara dan insya-Allah apabila kita berjaya hentikan penularan wabak ini, kita boleh teruskan kehidupan dan tradisi kita seperti biasa.

2 Comments

  • Muhammad Wang

    baru terbaca ni

    KOTA BHARU: Lebih sebulan Kelantan diisytihar bebas COVID-19, apa yang dibimbangi kerajaan negeri dan pihak berkuasa berlaku semalam apabila satu kes positif pandemik berkenaan mula dikesan.

    Kluster baharu itu melibatkan seorang wanita mengandung yang pulang ke kampung halaman pada 7 Mei lepas sewaktu kerajaan melonggarkan aktitivi rentas negeri.

    Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *