Penularan Tempatan Sudah Terkawal

1. Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan 10 kes baharu Covid-19 di Malaysia, di mana kesemua kes adalah dari penularan tempatan. 7 kes di Kuala Lumpur, 2 kes di Selangor dan 1 kes di Pahang. Negeri-negeri lain menunjukkan angka sifar, alhamdulillah.

2. Sehari sebelumnya, kita mencatatkan rekod baharu dengan jumlah kes satu digit sahaja (9) dalam penularan tempatan. Daripada 15 kes yang dilaporkan, enam adalah kes import. Hanya empat daripada sembilan penularan tempatan pada hari tersebut adalah warganegara Malaysia.

3. Sewaktu kita sibuk menyambut Aidilfitri, kita dikejutkan dengan statistik pada dua hari yang melonjak kembali kepada tiga digit. Pada 25 Mei kita merekodkan sebanyak 172 kes baharu sementara 26 Mei pula sebanyak 187 kes.

4. Namun jumlah yang tinggi tersebut melibatkan kluster-kluster baharu di depot-depot imigresen, dan tidak melibatkan rakyat Malaysia. Pada dua hari tersebut, kes baharu yang melibatkan rakyat Malaysia hanya lapan kes sahaja pada 25 Mei manakala hanya empat kes pada 26 Mei.

5. Saya percaya dan yakin untuk katakan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat telah berjaya mengekang penularan wabak ini dalam kalangan penduduk tempatan. Tidak sia-sia kita semua duduk di rumah dan mengelak daripada perhimpunan awam. Syabas!

6. Namun begitu, kita masih lagi risau tentang kes-kes import atau jangkitan dari luar yang masih berlaku. Seperti yang berlaku di Sabah, dilaporkan lebih 60% kes Covid-19 yang dikesan adalah jangkitan dari dalam negeri yang kebanyakannya terdiri daripada kontak rakyat Sabah yang baru pulang dari Semenanjung. Kita perlu terus berhati-hati dan amalkan penjarakan sosial.

7. Sementara itu saya berpendapat langkah untuk menunda pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau baru-baru ini adalah keputusan yang baik. Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek terutamanya desakan serta keselamatan awam dan sensitiviti masyarakat pribumi. Kita boleh menganjurkan semula pertandingan ini apabila keadaan sudah bertambah baik.

8. Kita perlu terus sabar menanti apa kesudahan PKPB yang bakal berakhir pada 9 Jun nanti. Sementara itu, amalkanlah penjagaan kesihatan diri, sentiasa berwaspada dan amalkan penjarakan sosial. Dan kepada rakyat Sabah yang menyambutnya mulai esok, saya mengucapkan Kotobian tadau tagazo do Kaamatan!

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *