Teruskan Amalan Normal Baharu

1. Alhamdulillah, rakyat Sabah sudah berjaya mendatarkan keluk jangkitan Covid-19. Sehingga semalam, jumlah keseluruhan kes di Sabah adalah 348 kes, dengan 5 kematian.

2. Kes terakhir yang direkodkan adalah pada 2 Jun dengan satu kes yang melibatkan seorang yang pulang ke Labuan dari Beaufort. Sarawak juga tidak mencatatkan sebarang kes baharu selama lapan hari berturut-turut.

3. Pada hari Rabu kerajaan negeri Sabah mengumumkan kebenaran kepada rakyat Malaysia yang ingin datang ke Sabah sama ada untuk urusan kerja atau pun melancong.

4. Dengan ini, rakyat Malaysia yang tiba dari Labuan, Semenanjung atau Sarawak tidak lagi perlu dikuarantin sekiranya mereka telah menjalani ujian Covid-19 sebelum tiba di Sabah.

5. Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesyorkan rakyat Malaysia yang ingin memasuki Sabah untuk menjalani ujian rt-PCR untuk Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke Sabah.

6. Ujian-ujian tersebut harus dilakukan antara tiga dan tujuh hari sebelum tarikh perjalanan untuk memastikan keputusan makmal sempat diperolehi. Namun, sekiranya mereka belum menjalani ujian, mereka akan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin sehingga keputusan ujian diperolehi.

7. Dalam pada itu, umat Islam di Sabah turut boleh bersyukur apabila bermula 4 Jun Majlis Fatwa Negeri Sabah bersetuju untuk membenarkan bilangan jemaah solat Jumaat kepada 40 orang berbanding hanya 12 orang sebelum ini. Bilangan jemaah solat lima waktu turut dinaikkan kepada 12 orang.

8. Namun ahli jemaah yang berusia lebih 70 tahun dan mereka yang mempunyai gejala sakit seperti demam atau batuk masih tidak dibenarkan untuk hadir solat Jumaat.

9. Anak-anak yang rindukan persekolahan juga boleh menarik nafas lega apabila Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah mula diedarkan sejak semalam bagi membolehkan pentadbir dan guru membuat persediaan yang sewajarnya. Walaupun belum ada tarikh khusus yang ditetapkan, Insya-Allah murid-murid boleh kembali ke sekolah dalam masa terdekat ini.

10. Usaha-usaha kita secara individu, komuniti dan negara selama kita berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat telah menunjukkan impak yang sangat baik.

11. Namun seperti yang saya pernah sebut sebelum ini, ancaman wabak ini masih ada oleh itu kita semua haruslah terus berwaspada dan amalkan penjagaan kesihatan dan penjarakan sosial. Apabila kita bersatu, berwaspada dan sentiasa mematuhi arahan-arahan KKM, kita boleh menang dalam peperangan melawan wabak ini. We are #StrongerTogether.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *