PKPP Bukan Alasan Untuk Abaikan Normal Baharu

1. Minggu lepas saya menulis kes terakhir Covid-19 yang dikesan di Sabah adalah pada 2 Jun, dan jumlah jangkitan kekal sebanyak 348 kes selama beberapa hari.

2. Namun selepas itu sehingga semalam, jumlah kes telah meningkat kepada 358, dan berlaku satu kematian di Sabah pada 12 Jun melibatkan seorang warga emas berusia 96 tahun. Punca jangkitan masih dalam siasatan. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

3. Statistik untuk Malaysia pula menunjukkan masih ada jangkitan tempatan walaupun majoritinya melibatkan warga asing. Namun kita boleh bersyukur kerana jumlah penyembuhan melebihi jumlah jangkitan sehingga melebihi tiga kali ganda.

4. Jangkitan tempatan yang masih berlaku bermaksud kita harus kekal berwaspada walaupun kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lepas.

5. Saya percaya ramai yang akan mengambil peluang sewaktu PKPP untuk pulang ke kampung, melancong dan melakukan aktiviti-aktiviti sosial. Tambahan pula kita masih meraikan Aidilfitri, dan di Sabah dan Sarawak pula kita masih dalam mood Kaamatan dan Gawai setelah tertangguh atau dibatalkan dua minggu lepas.

6. Kelonggaran yang diberikan bukanlah bermaksud kita tidak perlu lagi amalkan tanggungjawab normal baharu yang kita amalkan selama tiga bulan ini.

7. Sekiranya kita ingin merentas negeri untuk ziarah, melancong atau bekerja, silalah ambil langkah-langkah pencegahan dan sentiasa mematuhi SOP penjarakan sosial.

8. Berhati-hatilah sebelum, semasa dan selepas memulakan perjalanan. Sekiranya memerlukan interaksi bersama orang lain, pastikan anda berada dalam jarak yang selamat. Sentiasalah pakai topeng muka dan elakkan sentuhan. Elakkan juga berada di tempat yang sesak dan dipenuhi orang ramai.

9. Ingatlah, perjalanan kita untuk mencapai status negara bebas wabak Covid-19 masih lagi jauh. Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menjelaskan minggu lepas bahawa untuk Malaysia mencapai status bebas Covid-19, kita harus melalui tempoh 28 hari tanpa satu pun kes jangkitan baharu.

10. Ini tidak mustahil dicapai sekiranya setiap daripada kita mengekalkan amalan normal baharu yang setakat ini telah menjadikan Malaysia salah sebuah negara yang berjaya membendung penularan Covid-19 secara serius.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *