Apakah Agenda Al Jazeera?

1. Saya sudah tonton video bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” terbitan Al Jazeera di YouTube. Pandangan saya sama seperti lebih 210,000 netizens yang “dislike” video tersebut.

2. Jika anda masih belum menontonnya, dokumentari 30 minit itu menyamakan langkah kerajaan mengawal penularan Covid-19 dalam kalangan warga asing di Selangor Mansion sebagai ganas, menekan, tidak berperikemanusiaan dan bersifat perkauman terhadap warga asing.

3. Ia seolah-olah menggambarkan kerajaan dan polis Malaysia sebagai junta tentera yang kejam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

4. Pada pandangan saya dokumentari ini sangat berat sebelah dan tidak menggambarkan keadaan sebenar. Ia dihasilkan atas niat untuk mengelirukan serta memburukkan nama negara setelah kita berjaya mengawal penularan Covid-19 sehingga mendapat pengiktirafan dunia.

5. Kita mengikuti perkembangan harian sewaktu di dalam PKP, PKPB dan PKPP, dan kita memang akui bahawa penularan dalam kalangan warga asing agak membimbangkan.

6. Bermula dengan kluster baharu di beberapa depoh tahanan imigresen dan kemudiannya pula warga asing dalam pelbagai sektor dalam komuniti, kerajaan perlu mengambil langkah untuk membendungnya dan paling penting sekali, menyelamatkan nyawa mereka.

7. Usaha menyelamatkan nyawa ini turut melibatkan pendatang-pendatang tanpa izin yang memasuki negara secara haram. Tindakan pantas dan tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Al Jazeera memohon maaf adalah sangat tepat.

8. Saya pernah tulis bahawa kita sedang hidup dalam zaman di mana setiap orang boleh mengutarakan pandangan masing-masing dengan pantas dan spontan, namun kita juga harus ingat bahawa sebarang pandangan yang kita sampaikan sebenarnya turut mendedahkan nilai dan identiti diri kita sendiri.

9. Oleh itu, saya boleh katakan bahawa wartawan, penerbit dan penyiar dokumentari ini adalah sangat tidak adil, tidak bertanggungjawab dan perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *