Gabungan Muafakat Nasional & Perikatan Nasional Bakal Jadi “Game Changer” PRU15

1. Selepas PRU14 pada Mei 2018, kita telah menyaksikan lima pilihan raya kecil (PRK) Parlimen dan enam PRK DUN. Beberapa keputusan PRK ini telah menunjukkan bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS, dan kini bersama PPBM, telah memperbaiki prestasi Barisan Nasional (BN). Anda boleh lihat peratusan serta perbandingan di penghujung catatan.

2. Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 45.68% undi popular dan 50.90% kerusi Parlimen. BN, apabila digabungkan dengan PAS, memperolehi undi popular yang lebih besar iaitu 49.97%, namun hanya memenangi 43.70% kerusi Parlimen.

3. Dari segi “undi popular Melayu” pula, PH memperolehi 11.38% (gabungan PPBM dan PAN) manakala gabungan UMNO dan PAS memenangi 37.72%. Baki selebihnya sekitar 10% telah diperolehi oleh PKR, sebuah parti yang popular dalam kalangan Melayu bandar dan Melayu liberal. Inilah sebabnya gabungan PKR dan DAP memenangi 40.09% undi popular, iaitu sekitar 10% undi Melayu.

4. Undi bukan Melayu yang diperolehi pembangkang agak konsisten dalam tiga PRU berturut-turut: 2008, 2013 dan 2018. Hanya undi Melayu sahaja yang turun naik secara tidak menentu sepanjang lima PRU sejak 1999.

5. Peralihan undi Melayu (“Malay swing”) inilah yang menentukan siapa yang bakal membentuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

6. Keteguhan kerjasama antara UMNO dan PAS ini dapat dilihat dengan lebih jelas di negeri-negeri “Melayu” umpamanya Kedah di mana PH hanya memenangi 36.50% undi popular berbanding 63.30% untuk gabungan UMNO dan PAS.

7. Di negeri-negeri yang didominasi orang Melayu seperti Terengganu dan Kelantan pula, PH dilenyapkan terus apabila gabungan UMNO dan PAS memenangi 100% daripada 99 kerusi Parlimen dan DUN.

8. Di Johor, PH memenangi 53.60% undi popular. Di Melaka 51.1%, dan Negeri Sembilan pula 53.90%. PH memenangi Perak dengan hanya 50.10% undi. Kesimpulannya, PH menang tipis di negeri-negeri ini, dan ini pun kerana undi Melayu telah berpecah lima.

9. Kekangan utama yang dihadapi BN dan PAS pada 2018 adalah apabila 97%-98% pengundi bukan Melayu telah mengundi pembangkang sementara pengundi Melayu pula telah terbahagi satu pertiga untuk UMNO, satu pertiga untuk PAS dan satu pertiga untuk PH.

10. Kini dengan gabungan UMNO dan PAS, dan juga PPBM baru-baru ini, keputusan PRU akan datang sudah pastilah sangat berbeza.

11. Tambahan pula, kali ini PH tidak akan dapat lagi 97%-98% undi bukan Melayu. Jika ada pun walau sekitar 10%-15% peralihan undi bukan Melayu, dan dengan penyatuan dan kesepakatan dalam blok pengundi Melayu hari ini, PH akan berhadapan dengan kesukaran apabila PRU15 tiba.

12. Memang tidak dapat disangkal bahawa di banyak tempat di dunia, bangsa menentukan keputusan sesebuah pilihan raya. Di UK, Parti Buruh memenangi lebih banyak kerusi di bandaraya-bandaraya pelbagai bangsa manakala kawasan-kawasan luar bandar yang “white” pula memberikan sokongan kepada Parti Konservatif. Sama juga seperti di Amerika Syarikat di mana pilihan “White America” saling bertentangan dengan “Black America”.

13. Malaysia tidak terkecuali apabila dibandingkan pengundi-pengundi di kawasan majoriti Melayu dengan kawasan-kawasan bukan Melayu di bandar-bandar. Dari apa yang sedang kita lihat hari ini, inilah tren yang akan mencorakkan PRU15 nanti.

PRK DUN Chini 4 Julai 2020

BN 13,872 (91.08%) Calon bebas yang disokong oleh PH 1,222 (8.02%)

PRU 14 Mei 2018

BN 10,027 (60.78%) PAS 5,405 (32.76%) PH 1,065 (6.46%)

PRK Parlimen Kimanis 18 Januari 2020

BN 12,706 (54.34%) Warisan 10,667 (45.66%)

PRU 14 Mei 2018

BN 11,942 (47.71%) Warisan 11,786 (47.09%)

PRK Parlimen Tanjong Piai 16 November 2019

BN 25,446 (65.60%) PH 10,380 (26.74%)

PRU 14 Mei 2018

BN 20,731 (38.7%) PH 21,255 (39.7%) PAS 2,962 (5.5%)

PRK DUN Rantau 13 April 2019

BN 10,397 (63.22%) PH 5,887 (35.80%)

PRU 14 Mei 2018

BN Menang tanpa bertanding

PRK DUN Semenyih 2 Mac 2019

BN 19,780 (50.44%) PH 17,866 (45.56%)

PRU 14 Mei 2018

PH 23,428 (50.76) BN 14,464 (31.34%) PAS 6,966 (15.09%)

PRK Parlimen Cameron Highlands 26 Januari 2019

BN 12,038 (56.18%) PH 8,800 (41.07%)

PRU 14 Mei 2018

BN 10,307 (42.30%) PH 9,710 (46.12%) PAS 3,587 (14.72%)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *