Tumpuan Harus Sentiasa Diberi Untuk Menangani Kemiskinan

1. Pengumuman kerajaan semalam tentang garis kemiskinan negara yang dinilai semula dan dinaikkan dari RM980 kepada RM2,208 sudah lama dinantikan dan ia juga amat bersesuaian dengan situasi hari ini di mana impak ekonomi akibat wabak Covid-19 amat dirasai oleh semua.

2. Inilah yang rakyat mahu dengar, iaitu hal-hal yang merangkumi kepentingan serta kebajikan hidup mereka.

3. Apa yang penting bagi rakyat adalah kehidupan dan mata pencarian hidup mereka. Dengan kenaikan garis kemiskinan negara, kadar kemiskinan telah meningkat dari 0.4% atau 24,700 isi rumah pada 2016 kepada 5.6% atau 405,441 isi rumah hari ini.

4. Ini bermakna kadar kemiskinan telah naik berganda-ganda dan cabaran kepada kerajaan hari ini ialah bagaimana untuk menangani kemiskinan menerusi pelaksanaan program pembaharuan sosial dan ekonomi yang komprehensif.

5. Kerajaan juga tidak harus melupakan warga-warga asing yang turut merasai impak kemiskinan namun tidak termasuk dalam indeks kemiskinan negara secara rasmi.

6. Mereka ini adalah golongan yang terpinggir yang hidup sengsara dalam kemiskinan namun tidak dikira dalam statistik 5.6% atau 405,441 isi rumah tersebut. Sabah adalah antara negeri yang didiami oleh ramai golongan ini.

7. Kemiskinan, atau ketiadaan tindakan untuk menanganinya, adalah satu bentuk ketidakadilan sosial. Ia boleh dianggap sebagai pencabulan hak asasi manusia kerana membina asas kehidupan berkualiti adalah keutamaan pertama bagi mana-mana kerajaan atau masyarakat.

8. Sangat tidak bermoral juga bila mana-mana negeri yang paling kaya dengan sumber minyak dan gas asli adalah juga negeri-negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang paling tinggi. Ini menjadi bertambah buruk apabila kadar kemiskinan di kawasan luar bandar tahun lepas adalah 12.4% lebih tinggi daripada 3.8% yang direkodkan di kawasan-kawasan bandar.

One Comment

  • Mohd Alimuddin Bin.Md Zinin

    Para pemimpin harus terus datang ke dewan kampung untuk mendengar apa kah peluang peluang yang boleh di buat,di sesuatu kawasan untuk menjana pendapatan mereka,jangan hanya di kelilingi dengan orang tertentu sahaja untuk mendengar cerita cerita memuji dan menyenangkan hati tapi hakikatnya peratus yang tidak menyukai banyak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *