Kembalikan Kemuliaan Dewan Rakyat

1. Selepas ditangguhkan dari tarikh sepatutnya iaitu 9 Mac ke 18 Mei, dan kemudian selama dua bulan sehingga 13 Julai 2020, Dewan Rakyat kembali bersidang Isnin lepas.

2. Namun apa yang menyedihkan ialah sepanjang beberapa hari ini, tajuk-tajuk berita hampir kesemuanya memaparkan kekecohan yang berlaku di dalam Dewan Rakyat.

3. Kata-kata Speaker Dewan Rakyat yang baru dilantik, Datuk Azhar Harun jelas menggambarkan situasi tersebut. “Itu bukan zoo, itu Dewan Rakyat kita,” kata beliau dalam sidang media pertama beliau sebagai Speaker.

4. Sebagai sebuah negara, kita telah melalui pelbagai cabaran politik, sosial dan ekonomi sepanjang setengah tahun 2020 ini.

5. Dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari lalu, kita telah menyaksikan satu peralihan kuasa yang dipenuhi pelbagai drama dan kontroversi. Kemudian selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri dengan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan baharu dibentuk, kita berhadapan dengan krisis Covid-19 pula.

6. Jadi emosi kita agak tinggi, dan kekecohan yang berlaku dalam Dewan Rakyat sejak Isnin lalu menggambarkan emosi tersebut. Kedua-dua belah pihak, iaitu Kerajaan dan pembangkang ada banyak penjelasan dan soalan yang harus ditangani, namun Dewan Rakyat bukanlah satu medan untuk meluahkan emosi.

7. Dewan Rakyat adalah komponen penting dalam sistem Kerajaan kita. Ia adalah medan khas untuk rakyat menyuarakan hasrat dan pendapat menerusi wakil-wakll yang mereka pilih.

8. Seringkali kita dengar ungkapan “Dewan yang mulia ini” dari ahli-ahli Parlimen. Ia jelas menggambarkan kemulian serta kepentingan Dewan Rakyat dalam sistem Demokrasi Berparlimen yang kita amalkan.

9. Dewan Rakyat bukanlah medan untuk memperlekeh, mengejek atau menghina pihak lawan. Ia juga bukan medan untuk memenuhi dendam kesumat peribadi, dan sudah pastilah bukannya medan untuk bertindak tanpa adab.

10. Lupakah kita kepada prinsip terakhir dalam Rukun Negara, “kesopanan dan kesusilaan”? Baru sahaja minggu lepas kita menyambut ulang tahun Rukun Negara yang ke-50, namun suasana di Dewan Rakyat minggu ini langsung tidak menggambarkannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *