Ahli-Ahli Politik Perlu Perbetulkan Keutamaan

1. Kini sudah 140 hari sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-8. Sesebuah kerajaan baharu biasanya dihakimi berlandaskan 100 hari pertama pentadbirannya. Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah pun melebihi tempoh tersebut namun “kekecohan” masih lagi belum berakhir. Walaubagaimana pun, pada fikiran rakyat, Tan Sri Muhyuddin sedang mentadbir dengan baik, dan inilah sebenarnya yang penting.

2. Jika kita lihat pada gaya berkempen di seluruh negara, sehinggalah ke malam tadi, ianya seolah-olah Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri telah pun dibubar, dan rakyat Malaysia akan keluar mengundi dalam PRU15 tidak lama lagi.

3. Namun sebenarnya tiada siapa yang tahu bila pilihan raya umum berikutnya akan diadakan kerana ianya tertakluk di atas budi bicara mutlak Perdana Menteri untuk memohon perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibubar untuk memberi jalan kepada pilihan raya umum yang baharu.

4. Begitu juga untuk negeri-negeri di mana Menteri Besar/Ketua Menteri perlu memohon perkenan Sultan/Raja/Gabenor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri. Jika itu tidak berlaku, maka menurut peruntukan undang-undang Dewan Undangan Negeri perlu diteruskan sehingga tamat tempoh lima tahun. Begitu juga dengan Parlimen. Dalam kes ini, PRU15 hanya akan diadakan sekitar Julai-Ogos 2023.

5. Ini adalah satu tempoh yang agak panjang, iaitu tiga tahun. Jadi, kenapa pula ahli-ahli politik dan parti-parti politik seolah-olah berada dalam “election mode”, seolah-olah PRU15 akan diadakan bulan hadapan dan bukannya tiga tahun akan datang? Ramai juga yang membuat spekulasi kononnya PRU15 mungkin akan diadakan sebelum penghujung tahun ini. Namun itu hanyalah tekaan semata-mata, dan mungkin juga angan-angan.

6. Apa yang paling penting sekarang adalah pandemik koronavirus Covid-19 dan juga krisis ekonomi yang diakibatkan olehnya. Pakar-pakar menjangkakan pandemik Covid-19 akan menjadi lebih buruk daripada wabak Spanish Flu 100 tahun dahulu yang berlarutan selama dua tahun dan membunuh 50 juta manusia. Jika jangkaan ini benar, maka ini adalah satu berita buruk untuk seluruh dunia.

7. Pakar-pakar turut berkata bahawa krisis ekonomi dunia yang kita akan hadapi akan menjadi yang paling buruk dalam tempoh 150 tahun. Sekarang ini pun rakyat Malaysia sedang sengsara namun ahli-ahli politik lebih mementingkan PRU15 daripada kehidupan dan mata pencarian rakyat.

8. Kita perlu perbetulkan keutamaan kita dan menumpukan perhatian kepada apa yang lebih penting. Dan apa yang lebih penting adalah kebajikan hidup rakyat dan bukannya pilihan raya umum yang masih belum pun diumumkan lagi tarikhnya. Rakyat sedang sengsara dan keadaan mungkin menjadi bertambah buruk. Tidak bolehkah kita ketepikan politik seketika, dan berikan tumpuan kepada rakyat?

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *