Tindakan “Low Class” Terhadap Karya Seni

1. Secara umumnya, vandalisme terhadap karya-karya seni adalah disebabkan pelbagai faktor. Antaranya kerakusan yang sangat jahat, berniat untuk menarik perhatian orang lain, disebabkan perbezaan ideologi politik, keinginan untuk membalas dendam, kekecewaan atau pun sengaja suka-suka.

2. Apa pun niat di sebalik perbuatan vandalisme terhadap lukisan mural “Covid-19 Heroes” di Taman Cahaya Alam di Shah Alam pagi ini, ia adalah sangat keji dan tiada satu pun sebab di atas dapat diterima, atau dijadikan sebagai benteng alasan.

3. Pertama sekali, mural tersebut dihasilkan sebagai menghargai peranan serta sumbangan pelbagai pihak terutamanya pimpinan negara dalam menangani wabak Covid-19. Tiada apa yang politikal tentang mural tersebut dan ianya sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat Malaysia merentas bangsa, agama atau pendirian politik.

4. Walaupun tiada gambar kita dilukis, ianya adalah tentang kita – bagaimana kita bersatu dan berdiri teguh di belakang pemimpin dalam memerangi Covid-19.

5. Kedua, tindakan menandakan perkataan yang jelek ke atas mural lukisan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah sangat tidak beradab atau “kurang ajar”. Tabiat seperti ini seolah-olah baru muncul di negara kita. Jata Negara dihina atau dicetak di dalam kasut, gambar-gambar pemimpin yang tidak sehaluan dipijak atau diludah dan banyak lagi insiden-insiden yang sangat mengecewakan.

6. Tindakan-tindakan seperti ini adalah dari mentaliti “low class” dan pada ketika kita semua sedang terus melangkah hadapan dari segi minda, keperibadian dan jati diri, masih ada lagi golongan yang bukan sahaja mahu terus kekal di belakang, bahkan bangga pula dengan kepurbaan mereka itu.

7. Baru semalam saya berkata bahawa ahli-ahli politik harus berhenti berpolitik seketika dan tumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat pada waktu yang sukar ini. Nampaknya, sesetengah rakyat juga harus ketepikan perasaan marah, hasad dengki, dendam atau kekecewaan sehingga terlupa adab kesopanan dan di mana bumi dipihak.

8. Saya berharap pihak berkuasa akan dapat membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Enough is enough.

9. Saya juga berharap Muhammad Suhaimi Ali, Abdul Hadi Ramli dan Muhamad Firdaus Nordin, tiga anak muda yang bekerja keras menghasil karya ini agar tidak berputus asa dan jadikan insiden ini sebagai pemangkin untuk terus berkarya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *