Covid-19: Masalah Demi Masalah Kepada Negara-Negara Miskin

1. Dalam catatan-catatan saya sebelum ini, kerap kali saya mengingatkan tentang jangkaan-jangkaan pakar berhubung ancaman kesihatan dan ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik Covid-19.

2. Negara-negara membangun dan berpendapatan rendah adalah kelompok yang akan paling terjejas sekali, memandangkan sistem kesihatan mereka akan menghadapi kesukaran dalam menangani penularan wabak ini.

3. Selain itu usaha-usaha mengawal penularan seperti perintah kawalan pergerakan atau pun “lockdown” secara total akan mengakibatkan kesusutan ekonomi dan membawa impak besar terhadap mata pencarian ramai rakyat.

4. Negara-negara tersebut secara asasnya tidak mempunyai keupayaan fiskal yang teguh untuk membiayai usaha-usaha bantuan atau memiliki peruntukan pencairan jangka pendek pada waktu mereka mahu membina semula kemampanan ekonomi untuk jangka panjang setelah terjejas oleh Covid-19.

5. Untuk mengatasi masalah ini, mereka terpaksa membuat pinjaman. Ini membawa kepada masalah lain pula, iaitu hutang kerajaan yang membengkak. Dalam tempoh antara 2010 hingga 2018, jumlah hutang negara-negara berpendapatan rendah telah meningkat begitu mendadak dari 51.5% daripada KDNK (USD137 bilion) kepada 65.8% daripada KDNK (USD$268 bilion).

6. Pembayaran semula hutang luar negara-negara Afrika telah berganda dalam masa dua tahun, iaitu dari 5.9% daripada pendapatan pada 2015 kepada 11.8% pada 2017. Impak pandemik akan menggandakan lagi statistik ini apabila mereka terpaksa berhutang dan terpaksa pula membuat pembayaran balik yang semakin menekan kewangan mereka. Baru-baru ini Tanzania terpaksa merayu kepada negara-negara pemiutang untuk membatalkan hutang mereka.

7. Servis atau pembayaran hutang membawa masalah seterusnya, iaitu tekanan kepada rakyat. Untuk membuat pembayaran hutang, kerajaan-kerajaan terpaksa menaikkan cukai dan memotong perbelanjaan terutamanya yang menjurus kepada kebajikan rakyat. Ketidakpuasan hati rakyat akan membawa kepada protes besar-besaran, seperti yang telah berlaku di Kenya, Ecuador dan Lubnan.

8. Baru-baru ini kumpulan negara G20 berkata ia akan menimbangkan lanjutan tempoh hutang negara miskin yang terkesan akibat Covid-19 pada separuh tahun kedua 2020. April lalu ia mengumumkan penangguhan hutang selama setahun untuk negara miskin, namun ia menerima kritikan pemerhati, yang menyifatkan langkah terbabit tidak memadai bagi mengurangkan kesan pandemik.

9. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut berpandangan bahawa langkah ini tidak akan membawa kesan terhadap kelalaian (default) untuk membayar semula kerana langkah G20 ini tidak membabitkan pemiutang persendirian.

10. Sewajarnya, apa-apa dasar atau persetujuan yang diambil perlulah mengambilkira kerumitan krisis Covid-19 dan juga mengambil kira masalah-masalah sedia ada yang telah lama wujud, iaitu beban hutang dan beban pembayaran balik hutang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *