Rakyat Sabah Menanti Dalam Debaran

1. Berita-berita mengenai Sabah banyak memenuhi dada-dada akhbar dan portal berita sejak minggu lepas.

2. Saya akui, pembubaran DUN Sabah penggal ke-15 setelah mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin telah mengejutkan bukan sahaja diri saya, malahan seluruh negeri Sabah.

3. Kini, rakyat Sabah sedang menanti dalam debaran namun ramai yang mengandaikan bahawa Pilihan Raya Negeri tetap akan diadakan, kecuali sekiranya mahkamah menentukan sebaliknya.

4. Ini berikutan tindakan yang diambil Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN lain yang telah mengemukakan saman ke atas Yang di-Pertua Negeri berhubung pembubaran DUN Sabah tersebut.

5. Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan tarikh 17 Ogos depan untuk membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah boleh dibicarakan di mahkamah atau tidak, dan seterusnya membuat keputusan sama ada tindakan Yang di-Pertua Negeri Sabah itu adalah mengikut undang-undang atau sebaliknya.

6. Jika tidak pun mengambilkira perkembangan tersebut, ada juga rakyat Sabah dan juga pemerhati dari luar yang bimbang sekiranya Pilihan Raya Negeri diadakan memandangkan situasi Covid-19 masih lagi belum dapat dibendung sepenuhnya.

7. Kita tidak boleh membuat perbandingan antara PRK DUN Chini dan DUN Slim dengan Pilihan Raya Negeri Sabah memandangkan PRN Sabah melibatkan kesemua kerusi DUN yang kini berjumlah 73 kerusi. Kita berhadapan dengan risiko jangkitan yang jauh lebih besar.

8. Maka PRN Sabah sekiranya berlangsung juga akan melibatkan kos yang lebih besar memandangkan langkah-langkah yang lebih meluas perlu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan.

9. Saya percaya majoriti rakyat Sabah akan akur kepada keputusan mengadakan PRN tersebut sekiranya mahkamah tidak menghalang kerana ianya adalah jalan penyelesaian terbaik yang boleh menamatkan kemelut politik yang melanda negeri Sabah hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *