Autonomi Untuk BN Sabah Satu Permulaan Yang Baik

1. Pengumuman Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berhubung autonomi sepenuhnya kepada BN Sabah dalam bersiapsiaga dan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini adalah satu pengumuman yang lama dinantikan oleh pimpinan BN Sabah.

2. Pimpinan BN Sabah khususnya UMNO telah membuat permohonan tuntutan autonomi ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan ia telah disahkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2019.

3. Saya mengucapkan tahniah kepada YB Dato’ Seri Bung Moktar Radin selaku Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi UMNO Sabah yang telah diberi kepercayaan untuk mengemudi dan mengetuai jentera BN Sabah dan UMNO Sabah dalam PRN kali ini.

4. Ini adalah satu langkah pertama yang besar dalam usaha rakyat dan negeri Sabah agar memiliki autonomi pentadbirannya sendiri dalam Persekutuan Malaysia. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukiti.

5. Kembali kepada PRN, walaupun pihak Mahkamah belum membuat keputusan berhubung tindakan saman oleh Tan Sri Musa Aman bersama 32 ADUN lain terhadap Yang di-Pertua Negeri berhubung pembubaran DUN, saya percaya kepimpinan BN dan UMNO Sabah tetap bersiapsiaga dan sentiasa berada dalam “standby mode”.

6. Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa ia meneruskan PRN Sabah selagi tiada arahan mahkamah juga mencerminkan pandangan majoriti rakyat Sabah hari ini.

7. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, rakyat Sabah sedang menanti dalam debaran namun ramai yang mengandaikan bahawa PRN tetap akan diadakan, kecuali sekiranya mahkamah menentukan sebaliknya.

8. SPR mengumumkan sejumlah 1.12 juta pengundi berdaftar akan menentukan hala tuju politik negeri Sabah setelah dilanda ketidaktentuan sejak dua tahun kebelakangan ini.

9. Sekiranya Mahkamah tidak menghalang, PRN Sabah adalah jalan penyelesaian terbaik yang boleh menamatkan kemelut politik yang melanda negeri Sabah hari ini.

10. Semoga Bumi Sabah terus dirahmati dan PRN kali ini akan dapat mengembalikan kestabilan serta kekukuhan politik, ekonomi dan sosial negeri Sabah agar setanding, malahan lebih baik daripada negeri-negeri lain di Malaysia.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *