Kita Jaga Kita Bah

1. Dengan selesainya Pilihan Raya Negeri Sabah hujung bulan lepas maka tamatlah kemelut politik yang telah melanda negeri Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

2. Rakyat Sabah telah membuat pilihan mereka, dan kerajaan negeri Sabah yang baharu haruslah diberikan kepercayaan dan sokongan agar dapat terus membawa pembangunan ke negeri Sabah yang dicintai ini.

3. Saya mengucapkan tahniah kepada barisan kabinet baharu yang mengangkat sumpah hari ini. Barisan kabinet ini sudah pastinya bertekad untuk memperhebatkan momentum pembangunan negeri sebagaimana yang pernah dicapai sebelum ini.

4. Namun di sebalik ini, negeri Sabah telah dilanda dua bencana iaitu penularan semula wabak Covid-19 dan kejadian banjir yang melibatkan beberapa bandar dan pekan di seluruh Sabah.

5. Kejadian banjir yang mengakibatkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir sudah pastinya membawa risiko penularan wabak Covid-19.

6. Di Kota Belud, penularan Covid-19 masih terkawal namun setakat 7 Oktober telah pun ada sebanyak 13 kes aktif di sini termasuk 9 kes baharu semalam. Ini bermakna kita semua haruslah lebih berwaspada dan berhati-hati agar Kota Belud tidak menjadi Zon Merah.

7. Tiga daerah di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat iaiatu Sandakan, Papar dan Tuaran bermula 9 Oktober. Ini bermakna hanya perkhidmaran penting dan industri yang diluluskan saja dibenarkan beroperasi di ketiga-tiga daerah ini sementara pergerakan keluar masuk juga tidak lagi dibenarkan.

8. Bagi penduduk Kota Belud, saya menasihatkan semua agar sentiasa berjaga-jaga dalam menjalani kehidupan seharian terutamanya mereka yang terlibat dengan banjir dua hari lepas. Sentiasalah amalkan kebersihan diri, penjarakan fizikal dan patuhi segala SOP yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

9. Jika tidak perlu keluar rumah, duduklah sahaja di rumah dan pastikan keluarga sentiasa sihat dan tidak didedahkan dengan risiko jangkitan. Perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan, patuhilah arahan ini sebaik-baiknya.

10. Jika anda atau ahli keluarga menunjukkan gejala, silalah dapatkan nasihat dan rawatan dengan segera. Portal telekesihataan kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia khusus untuk Covid-19, DoctorOnCall telah kembali beroperasi.

11. Gunakanlah portal ini untuk mendapatkan maklumat dan nasihat berhubung risiko jangkitan, dan anda juga boleh berhubung dengan pegawai perubatan menerusi mesej peribadi, panggilan telefon atau video. Lawatilah laman www.doctoroncall.com.my/coronavirus.

12. Kita berhadapan dengan cabaran yang besar dalam menamatkan penularan Covid-19 di Sabah, namun ia tidak mustahil dapat dilakukan sekiranya setiap dari kita memainkan peranan dan tanggungjawab. Kita jaga kita bah, dan kita mesti menang!

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *