Mengangkat Sumpah Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan

Kenyataan Media

Mengangkat Sumpah Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan

1. Saya telah selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri untuk N10 Usukan petang ini di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah yang baharu Datuk Haji Kadzim Haji M. Yahya.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang mengangkat sumpah hari ini. Saya turut mengucapkan tahniah kepada barisan kabinet baharu Sabah yang telah pun mengangkat sumpah kelmarin.

3. Saya sepenuh hati percaya bahawa kerjasama dan persefahaman dalam pentadbiran negeri Sabah yang baharu ini akan menjadikan pentadbiran negeri Sabah lebih cekap dan telus.

4. Saya percaya dan yakin bahawa tumpuan utama Kerajaan Negeri Sabah hari ini adalah untuk memastikan negeri Sabah terus makmur dan mampu berdaya saing dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

5. Kerajaan baharu Sabah hari ini sudah pastinya bertekad untuk memperhebatkan momentum pembangunan negeri sebagaimana yang pernah dicapai sebelum ini. Namun, buat masa ini saya percaya bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan menumpukan tumpuan kepada penularan Covid-19 yang sedang mengancam negeri Sabah.

6. Dengan tiga daerah di Sabah kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bermula 9 Oktober, dan larangan rentas negeri dari 12 hingga 25 Oktober ini, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi mendatarkan semula keluk jangkitan di Sabah khususnya, dan Malaysia amnya.

7. Sebagai sebahagian daripada Dewan Undangan Negeri yang membentuk Kerajaan Negeri Sabah hari ini, saya akan berikan penuh kerjasama, sokongan dan komitmen dalam memastikan agenda-agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan, dan usaha-usaha menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah dapat diteruskan bersama.

8. Saya juga pastinya akan menunaikan janji bakti saya kepada pengundi-pengundi saya di Usukan yang telah memberikan mandat dan kepercayaan kepada saya. Sementara menanti pembinaan SSK Centre yang dijanjikan, saya akan menyediakan sebuah lokasi sementara untuk SSK Centre dalam masa terdekat ini.

9. Program-program dan kelas-kelas latihan bagi membantu masyarakat berhadapan dengan cabaran hari ini dan masa hadapan juga akan dilaksanakan secepat mungkin. Memandangkan kita berhadapan dengan penularan semula Covid-19, program-program tersebut akan dilaksanakan secara dalam talian, dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk dari pihak Kerajaan Negeri, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan juga pihak swasta.

10. Sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat Usukan, saya akan terus berbakti untuk membawa Usukan ke masa hadapan yang lebih baik. Kita mesti terus melangkah bersama-sama.

Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak, ADUN Usukan, Kota Belud

9 Oktober 2020

5 Comments

  • musri bin mukram

    tahniah datuk seri panglima salleh said keruak.kerana telah dilantik sebagai ahli dewan undagan negeri adun usukan.sy akan terus melangkah meyokong kepimpinan datuk.semoga datuk berjaya merealisasikan apa yg datuk impikan serta warga usukan mahukan..tahniah sekali lg..sekian.

    • Rafee Din Duyat

      Terbaik DSSK..pemimpin berpegang pada janjinya, tiada istilah janji kosong..#LANGGAR TERUS#TERUS BERBAKTI#TERUS MELANGKAH KE HADAPAN.

  • AmiNLaN

    Kami Rakyat’ Kota Belud N10 Usukan Tetap Bangga Dengan Tokoh politik DSP SSK Dan Akn Teguh menyokong DSP SSK walaupun dalam keadaan apa sekalipun Kami Rakyat Kota Belud Tetap Akan Mempertahankan DSP SSK Daripada sebarang Apa Apa Ancaman cubaan yg Menjatuhkan DSP SSK Rakyat Kota Belud Tidak akan bertolak ansur Peringatan tegas kepada sesiapa sahaja yang berniat sedemikian.. Demi Buana Datuk Kita…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *