Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Sabah

1. Negeri Sabah kini berhadapan dengan cabaran yang amat besar, iaitu gelombang baharu penularan Covid-19. Penularan besar-besaran pasca-PRN  lalu melihatkan Sabah merekodkan angka-angka kes baharu yang tertinggi sepanjang minggu ini.

2. Jika kita lihat statistik setakat 15 Oktober, Sabah merekod 5,979 kes dengan pertambahan kes baharu sebanyak 486. Kita juga merekodkan angka kematian yang paling tinggi, iaitu seramai 44 orang telah menjadi korban wabak ini. Kelmarin, hanya dua daerah di Sabah tidak merekodkan sebarang kes aktif, iaitu Tongod dan Nabawan.

3. 11 daerah merekodkan lebih daripada 40 kes aktif di mana Semporna adalah daerah yang paling terkesan, dengan 824 kes setakat ini. Kota Belud merekodkan 16 kes baharu kelmarin, melonjakkan jumlah kes aktif kepada 65.

4. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan ke atas 11 daerah di Sabah telah terbatal dengan sendirinya, sebaliknya Kerajaan Persekutuan mengumumkan PKPB untuk seluruh negeri Sabah bermula 12 Oktober sehingga 26 Oktober 2020.

5. Dengan pengumuman ini, prosedur operasi standard (SOP) PKPB untuk 11 daerah yang terlibat yang diumumkan sebelum ini tidak lagi terpakai. Sebaliknya, sila rujuk kepada SOP PKPB yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara pada 14 Oktober lepas.

6. Anda boleh rujuk di laman Facebook MKN Sabah di pautan https://www.facebook.com/mkn.sabah.1/posts/1893014030836506 untuk senarai penuh SOP.

7. Terdapat kekeliruan mengenai SOP PKPB daerah sebelum ini yang hanya membenarkan perniagaan atau perkhidmatan penting (essential) untuk beroperasi. Namun, mengikut SOP PKPB Sabah, pengusaha atau peniaga dalam sektor ekonomi, industri dan perniagaan tidak lagi perlu memohon kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (Covid-19) untuk kebenaran beroperasi.

8. Walaubagaimana pun, aktiviti-aktiviti berikut tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPB iaitu pasar malam, pasar tani dan Tamu, pusat-pusat hiburan, kelab-kelab hiburan termasuk kelab malam, pub, panggung wayang dan aktiviti perjudian, dan juga aktiviti rumah urut, refleksologi, rawatan muka serta manicure and pedicure.

9. Perlu diingatkan juga bahawa SOP bagi 10 lokaliti yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pula adalah kekal seperti sebelum ini.

10. Rakyat Sabah perlu memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada usaha-usaha membendung Wabak Covid-19 dari terus merebak. Kita akan berhadapan dengan pertambahan kes baharu untuk seketika memandangkan lebih banyak saringan kontak rapat telah dilaksanakan, namun jika kita semua mematuhi SOP PKPB dan sentiasa menjaga keselamatan diri, insya-Allah kita akan dapat mendatarkan semula keluk jangkitan. Kita pernah berjaya sebelum ini, kenapa kali ini tidak pula?

11. Saya berharap penduduk-penduduk Kota Belud, dan rakyat Sabah amnya, dapat bersabar dan terus mematuhi SOP. Jika anda ada sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan Bilik Operasi Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) melalui portal: command.sabah.gov.my atau menelefon 088-369430 antara 8 pagi hingga 8 malam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *