Tiada Keperluan Untuk Perjanjian Keyakinan & Pembekalan

1. Bila kita berkata kita akan bekerjasama dengan kerajaan dalam membentuk Belanjawan Perpaduan, kita tidak sepatutnya meletakkan syarat yang tidak adil kepada rakan sekutu dalam kerajaan.

2. Kerjasama dalam bentuk cadangan-cadangan dialukan, namun ia harus mengambil kira aspek terpenting dalam perincian Belanjawan tersebut, iaitu kepentingan rakyat dan negara. Apa yang penting, cadangan-cadangan diambil kira, dipertimbangkan dan harus ada “give and take” dan juga kompromi.

3. Tindakan Pakatan Harapan meletakkan syarat penerimaan konsep perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement – CSA) melanggar semangat kerjasama yang telah ditunjukkan oleh parti-parti lain, terutamanya Barisan Nasional yang telah pun membuat ketetapan untuk memberi sokongan kepada Belanjawan Perpaduan tersebut.

4. Perjanjian keyakinan dan pembekalan bermaksud kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan minoriti. Ini tidak benar kerana kerajaan Perikatan Nasional mempunyai jumlah sokongan yang cukup di Parlimen, dan jika CSA dimeterai ini bermakna Tan Sri Muhyidin mengakui bahawa beliau gagal memperoleh kepercayaan dan sokongan dari rakan sekutu dalam kerajaan. Dan inilah sebenarnya apa yang dimahukan oleh pembangkang.

5. Atas dasar ini, Barisan Nasional telah secara kolektif menolak cadangan CSA yang dicadangkan pembangkang.

6. Semalam, kita merakamkan statistik kematian tertinggi akibat Covid-19 setakat ini, dan sebanyak 1,054 kes baharu dilaporkan. Adakah ancaman Covid-19 sudah mulai reda sehinggakan kita masih lagi sibuk bermain politik?

7. Saya ulangi gesaan agar kita semua sepakat, bekerjasama dan memastikan Belanjawan 2021 adalah mantap dan dapat menjamin kesiapsiagaan kita menghadapi pandemik Covid-19, dan pada masa yang sama mampu meringankan, atau sebaiknya menamatkan keperitan yang sedang dihadapi ekonomi dan juga rakyat Malaysia.

4 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *