Teguh Kita, Menang Bersama

1. Alhamdulillah, saya menyambut baik pembentangan Belanjawan 2021 siang tadi oleh Menteri Kewangan, YB Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

2. Dengan tiga matlamat induk, iaitu Kesejahteraan Rakyat, Kelangsungan Ekonomi dan Ketahanan Ekonomi, saya percaya Belanjawan 2021 telah diperincikan sebaiknya dengan fokus kepada rakyat dan ekonomi negara dalam menangani impak Covid-19, sepertimana yang disuarakan oleh rakyat dan juga ahli politik merentas parti dan fahaman.

3. Saya berpandangan dan sering menyuarakan bahawa negeri Sabah memerlukan Kerajaan negeri yang menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, kerana kita akan berupaya untuk berdaya saing dengan negeri-negeri lain. Jelas, negeri Sabah mendapat perhatian yang wajar dalam Belanjawan 2021.

4. Peruntukan berjumlah RM5.1 bilion untuk pembangunan infrastruktur Sabah, selain daripada RM3.8 bilion lagi untuk kesinambungan projek Lebuhraya Pan Borneo, adalah antara peruntukan untuk Sabah yang saya alu-alukan.

5. Begitu juga dengan Geran Khas Prihatin Tambahan berjumlah RM1,000 untuk peniaga, penjaja, pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan juga pemandu pelancong di Sabah. Kerajaan telah mendengar keluhan rakyat Sabah yang berhadapan dengan ancaman Covid-19 yang paling teruk setakat ini di Malaysia. Subsidi padi bukit yang diperkenalkan semula akan turut memanfaatkan lebih 10,000 pengusaha penanaman padi di Sabah.

6. Apa yang penting sekarang adalah untuk kita memastikan keberkesanan pelaksanaan peruntukan-peruntukan ini. YAB Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor telah memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sabah akan bekerjasama dengan rakan Persekutuan lain untuk memastikan ia berjaya dilaksanakan.

7. Pada pandangan saya, selari dengan konsep dan semangat Persekutuan, kepercayaan dan tanggungjawab harus diberi kepada Kerajaan Negeri Sabah sendiri untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan tersebut. Dengan kata lain, Kerajaan Persekutuan menyerahkan (delegate) dan desentralisasi kepada Kerajaan Negeri segala urusan perancangan pembangunan, proses tender dan juga pemantauan projek.

8. Kerajaan Negeri Sabah turut memikul tanggungjawab untuk memantau segala pelaksanaan dan keberkesanan projek untuk mengurangkan atau lebih baik, menghapuskan sebarang ketirisan.

9. Pembentangan hari ini adalah satu permulaan kepada langkah-langkah perlu untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan keteguhan ekonomi negara. Langkah kedua adalah memastikan setiap pihak bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan dan keberkesanan Belanjawan 2021. Dengan angka jangkitan baharu Covid-19 mencecah 1,755 kes hari ini, kerjasama ini tidak boleh ditangguh atau dipertikaikan lagi.

3 Comments

  • FA

    Sependapat dengan DSSK perkara 7, Kerajaan Sabah harus diberi kepercayaan untuk melaksanakan pakej ekonomi yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
    Mohon DSSK beri pandangan kepada Kerajaan Negeri dasar-dasar ekonomi yang berdaya saing pada bajet negeri.

    • AmiNLaN

      Betul Datuk Seri DSP SSK.
      Diyam Diyam Ubi Berisi
      Bahkan Menanam Padi..
      Padi… ditanam mangkin tingginya pokok mangkin menunduk kebawah… Kerana Padi berat berisi.
      Tidak separti Pokok lanlang mangkin tinggi Mangkin pula menegak menjelang dengan liyarnya.. tak berhasil dan tidak bermakna kepada masyarakat. Assalamualikum..
      semoga Datuk Seri DSP SSK. Doipermudahkan Allah Swt segala urusan serta kerja yang diamanahkan oleh Rakyat..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *