Pelanjutan PKPB & Sumbangan Bantuan

1. Dengan 556 kes baharu kelmarin, 319 (12/11), 553 (11/11), 397 (10/11), 370 (9/11) dan 524 (8/11), negeri Sabah masih lagi menunjukkan jumlah jangkitan yang tinggi walaupun tidak mencecah empat angka kecuali pada 6/11 di mana kita mencatat 1,199 kes baharu. 

2. Dengan jumlah jangkitan tiga angka yang masih di antara 300 hingga 600 ini, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Negeri Sabah telah dilanjutkan sehingga 6 Disember 2020.

3. Dua hari lepas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun mengumumkan bahawa semua pihak yang ingin menghantar bantuan ke Sabah diwajibkan untuk memohon kelulusan daripada Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri. Peraturan ini ditetapkan sebagai SOP yang diselaraskan kerajaan negeri dan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

4. Ramai yang tidak bersetuju dengan pengumuman ini kononnya Kerajaan Negeri Sabah hanya mahu sumbangan bantuan datang dari Kerajaan Sabah sendiri. Sebenarnya ini tidak benar sama sekali.

5. Kerajaan Sabah mengalu-alukan bantuan dari semua pihak sama ada NGO, pihak swasta mahu pun individu, namun Kerajaan Sabah tegas mahu memastikan keselamatan dan kesihatan penderma tidak terjejas. SOP tersebut dicadangkan agar penderma tidak terdedah kepada risiko jangkitan kerana hanya Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat-Pejabat Daerah yang tahu kawasan-kawasan mana yang berisiko tinggi.

6. Kelmarin Kerajaan Negeri menarik baik peraturan tersebut setelah mendapat tentangan dari orang ramai. Namun, penderma masih perlu berkomunikasi dengan pegawai-pegawai kebajikan di daerah-daerah yang terbabit sebelum mengagihkan sumbangan bantuan mereka. Selain mengurangkan jumlah jangkitan baharu setiap hari, kita juga tidak mahu penderma terdedah kepada jangkitan dan membawanya pulang.

7. Kerjasama dan persefahaman yang baik antara Kerajaan Negeri, NGO, pihak swasta dan juga individu sangat perlu dalam kita menghadapi cabaran getir hari ini. Kita perlu bekerja sebagai satu pasukan demi menyampaikan bantuan yang amat diperlukan oleh rakyat. 

8. Hari ini majlis penyerahan fasa pertama bantuan bakul makanan dari Kerajaan Negeri telah berlangsung untuk DUN Usukan. Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kru SSK Centre (SSKC) yang baru ditubuhkan yang dianggotai oleh anak-anak muda sukarelawan yang menaja sarapan pagi dan makan tengahari untuk kumpulan penyelaras agihan bantuan.

9. Saya menyeru agar rakyat Sabah terus bersabar dan kekal mengamalkan SOP Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan sepanjang tempoh PKPB ini. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *