Ucapan Penggulungan Usul Terima Kasih Ucapan TYT

Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan bahawa Usul yang berikut hendaklah dipersetujui.

 “Bahawa kami Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah melahirkan rasa terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri atas Ucapan Dasar Kerajaan yang telah disampaikan Oleh Tuan Yang Terutama pada hari Khamis, bersamaan 12 November 2020.”

Tuan Speaker,

  • Dalam kesempatan ini juga ingin saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Hajiji bin Haji Noor, dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah mengetuai Kerajaan yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-16.
  • Saya yakin dengan pengalaman dan kebijaksanaan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri untuk membawa Sabah maju ke hadapan.

Tuan Speaker,

PERPADUAN

  • Ucapan Dasar Kerajaan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua banyak mengupas senario semasa negara yang kini sedang mengharungi Gelombang ke-3 Pandemik COVID-19.
  • Sehubungan dengan itu, kita  mengutamakan konsep perpaduan di kalangan kita dalam memerangi pandemik COVID-19. Kita sekarang sudah mula bertugas sebagai wakil rakyat, dan justeru itu perlu menjadi contoh yang terbaik untuk rakyat.
  • Sememangnya, kita mempunyai perbezaan politik tapi masa sekarang adalah masa untuk kita bersatu-padu dalam membantu usaha Kerajaan dalam menangani soal pandemik COVID-19, keselamatan, dan kesejahteraan rakyat.
  • Hidup perlu diteruskan. Kita perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 akan bersama kita untuk jangka masa yang agak lama. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus mematuhi semua kewajiban di bawah Tatacara Operasi Standard (SOP). Contohnya, seperti memakai pelitup muka, mengamal tatacara kebersihan tinggi dan memastikan penjarakan fizikal dalam kehidupan harian.
  • Dalam kesempatan ini, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas Barisan Hadapan kita yang sedang bertungkus-lumus mengawal penularan pandemik COVID-19.

Tuan Speaker,

  • Selain dari COVID-19, kita juga sekarang berdepan dengan pelbagai cabaran Kebiasaan Baharu (“New Normal”). Izinkan saya untuk menarik perhatian semua kepada beberapa isu yang perlu ditangani dengan segera.

KEMISKINAN DIGITAL (DIGITAL POVERTY)

  • Kemiskinan Digital atau “Digital Poverty” boleh ditafsirkan sebagai satu keadaan serba kekurangan teknologi maklumat dan komunikasi atau information and communication technology (ICT) di masyarakat kita, samada dari segi kekurangan prasarana ICT ataupun kelemahan kemahiran ICT.
  • Kemiskinan Digital ini tidak semestinya berkaitan dengan soal kedudukan ekonomi seseorang itu. Seseorang itu mungkin sudah mempunyai kelengkapan ICT seperti komputer, telefon pintar dan sambungan internet yang pantas, tetapi masih dianggap Miskin Digital.
  • Ini kerana sesorang itu masih belum mahir menggunakan ICT sebaiknya untuk urusan utama harian yang sudah kian semakin lama semuanya beroperasi dalam talian, seperti bekerja, berniaga, dan berurusan. Kita terlalu biasa dengan komunikasi bersemuka (face-to-face) dan masih belum dapat mempraktikkan konsep ‘Bekerja-Dari-Rumah’ (Work From Home) dan “Urus Niaga Dalam Talian” (Online Transaction). Mungkin juga perkara ini berlaku kerana sesetengah urusan perkara belum melalui proses digitalisasi.
  • Tapi yang jelas,  isu ini tidak boleh dibiarkan berlarutan, kerana ia akan memberi kesan ekonomi sebenar dan mengakibatkan Sabah ketinggalan lebih jauh dari arus pembangunan.
  • Sebagai contoh pendidikan. Arahan penutupan sekolah awam dan swasta dalam menangani COVID-19, telah membawa satu cabaran besar. Dalam tempoh ini, kita boleh melihat betapa beratnya beban warga pendidik dan ibu bapa yang meningkat berlipat kali ganda demi memastikan anak-anak kita tidak tercicir daripada pelajaran mereka. Ada ibubapa mungkin terpaksa bekorban masa bekerja masing-masing untuk hal sedemikian.
  • Ternyata, kita belum bersedia untuk mengendalikan pembelajaran berasaskan dalam talian. Kita boleh lihat sendiri usaha sekolah-sekolah dan guru-guru khususnya di bandar, luar bandar dan pedalaman Sabah yang mengambil inisiatif sendiri untuk menyediakan salinan bahan untuk dihantar kepada para pelajar yang tidak mempunyai akses kepada Internet. Usaha sebegini dibuat secara sukarela dan biasanya menggunakan duit sendiri.
  • Dalam kesempatan ini, izinkan saya juga merakamkan  ucapan terima kasih kepada semua warga pendidik dan juga ibubapa pelajar untuk semua usaha murni mereka selama ini.
  • Saya berharap Kerajaan boleh merancangkan kaedah sewajarnya atau menyampaikan insentif bersesuaian untuk menangani isu Kemiskinan Digital ini. Tumpuan perlu diberikan kepada kekurangan kelengkapan ICT sedia ada, usaha meningkatkan kemahiran rakyat penggunaan ICT dalam urusan harian, dan juga menyediakan dana atau insentif sewajarnya untuk semua yang terkesan dengan Kemiskinan Digital. Jika perlu, Kerajaan Negeri harus menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantu Sabah dalam hal ini.
  • Kita gembira mendengar pengumuman dana besar Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2021 untuk penambahbaikan prasarana internet. Bagaimanapun, saya berharap Kerajaan Negeri dapat menekankan bahawa perkara yang lebih penting dalam sebarang dana adalah pelaksanaannya. Dalam hal ini, kita perlu mengkaji kaedah terbaik dalam memastikan pelaksanaan pembangunan dan penyampaian internet negeri yang berkesan dalam kadar segera kepada rakyat.
  • Ingin saya ingatkan, dalam Kebiasaan Baru ini ianya teramat penting untuk Sabah mempunyai sambungan, liputan dan rangkaian internet yang memuaskan agar kita dapat juga meneroka sebarang peluang ekonomi baru yang pasti akan muncul.

PENAMBAHBAIKAN SISTEM e-KASIH

  • Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua turut ada menyentuh tentang kemiskinan. Kerajaan mempunyai beberapa mekanisme untuk menyalurkan bantuan-bantuan kepada golongan yang memerlukan, seperti menerusi program e-Kasih.
  • Sebagai penambahbaikan, saya mencadangkan agar senarai nama e-Kasih perlu dikemaskinikan segera untuk memastikan perkhidmatan sampai kepada semua yang layak. Ini boleh dilakukan dengan memaparkan semua senarai nama-nama berdaftar e-Kasih di Balai Raya atau mana-mana yang lokasi sesuai.
  •    Ada 2 keperluan untuk mengemaskini senarai penerima e-Kasih ini. Pertama, kita dapat menilai ketelusan dan integriti orang kampung untuk memainkan peranan semak dan imbang (check and balance) kepada nama siapa yang layak dan tidak layak. Kedua, ia dapat memperbaiki sebarang kelemahan urustadbir perkhidmatan ini agar ianya lebih cekap dan berkesan. 
  • Pokoknya, kita perlu pastikan hanya golongan sasar e-Kasih yang benar-benar memerlukan menerima bantuan tersenarai. Bantuan perlu disalurkan bersandarkan atas dasar kemanusiaan tanpa dipengaruhi oleh perbezaan bangsa, agama dan juga politik.

PERANCANGAN MODEL EKONOMI BARU YANG LESTARI

  • Pandemik COVID-19 telah melumpuhkan sektor ekonomi kita dan khususnya industri pelancongan Sabah, yang merupakan salah satu penyumbang utama ekonomi kita. Ramai pekerja yang diberhentikan atau tidak mempunyai kerja, dan hotel, tempat pelancongan, restoran dan peniaga cenderahati semuanya terjejas.
  • Oleh itu, kita memerlukan Kerajaan Negeri untuk merancangkan satu Model Ekonomi Baru yang lestari dalam konteks Kebiasaan Baharu ini. Kita tidak boleh tunggu keadaan untuk kembali ke masa dahulu kala.
  • Untuk mencapai matlamat ini, saya menyarankan Kerajaan Negeri untuk mengadakan kerjasama semua lapisan masyarakat, untuk (1) mengenalpasti sumber dan peluang ekonomi baharu, (2) memastikan keberlangsungan sektor ekonomi kita yang yang terjejas, dan juga (3) melicinkan adaptasi tenaga pekerja kita untuk mengharungi Model Ekonomi Baru ini dari segi pendidikan, latihan, dana, insentif dan toleransi dalam pemungutan cukai negeri.

Tuan Speaker,

KERJASAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN- NEGERI

  • Sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia, kita berharap Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan, pentadbiran dan peruntukan kewangan yang adil, seimbang dan memuaskan untuk Sabah.
  • Sehubungan dengan itu, saya menyambut baik peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM 5.1 bilion kepada Sabah dalam BELANJAWAN 2021 untuk pembangunan infrastruktur, di kala pendapatan negara menyusut dan juga kejatuhan harga minyak dunia. Kita berharap Kerajaan Negeri juga diberi amanah untuk memastikan pelaksanaan dana tersebut untuk pembangunan infrastruktur yang cekap.
  • Tambahan juga, kita berharap Kerajaan Negeri dapat memastikan perhatian sewajarnya diberikan kepada Sabah dalam proses memperhalusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang akan datang.

Tuan Speaker,

PENUTUP

  • Sebagai penutup, izinkan saya mengakhiri ucapan saya dengan peribahasa Melayu yang berbunyi begini

Bulat Air Kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat”.

  • Kita mungkin mempunyai pendirian politik yang berlainan, tetapi saya percaya dengan muafakat kita boleh mencari titik persamaan yang membolehkan kita meraikan perbezaan antara kita.

SALLEH SAID KERUAK

16.11.2020

One Comment

  • mohd Adzree bin amdin

    saya menyokong cadangan yb terhadap isu kemiskinan digital yg haruslah di penambaikkan di kawasan kawasan luar bandar dan bandar bagi mempermudahkan rakyat access internet provide yg lebih berkesan and easy and ultimate ekasih bagi memastikan golongan miskin tidak tersisir terutama sekali luar bandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *