Kemiskinan Digital & Cadangan Untuk Sabah

1. Dua minggu lepas dalam ucapan saya di persidangan DUN Sabah di Kota Kinabalu, saya menyeru agar Kerajaan Sabah mencari penyelesaian terbaik dalam isu kemiskinan digital di negeri Sabah.

2. Hari ini teknologi mempunyai impak yang sangat besar terhadap ekonomi masyarakat, negeri, bahkan negara. Untuk menjana pertumbuhan ekonomi, kita perlu menyiapsiagakan rakyat agar lebih mesra digital dan dapat keluar dari kepompong miskin digital.

3. Dua hari lepas, Pengerusi Common Tower Technologies Sdn. Bhd (CTTSB) Ghazalie Ansing menyeru Kerajaan Sabah untuk lebih peka dengan tahap capaian internet di negeri ini untuk memastikan ia tidak ketinggalan berbanding negeri lain.

4. Beliau mencadangkan Kerajaan Sabah untuk ada sistem pemantauan menara telekomunikasi sendiri untuk memantau kerja-kerja lapangan dan kemampanan menara telekomunikasi yang sedia ada. Ia turut membawa manfaat kerana Kerajaan Sabah akan dapat melihat kadar permintaan-penawaran kapasiti internet di setiap lokaliti.

5. Semalam pula, EMIR Research menggariskan beberapa cadangan dasar kepada Kerajaan Sabah dalam menangani kemiskinan digital di negeri ini.

6. Selain memperluaskan jaringan fiber optik dan pembangunan komersial infrastruktur telekomunikasi di pedalaman Sabah, ia mencadangkan Kerajaan Sabah bekerjasama erat dengan SKMM dan juga pihak berkuasa tempatan untuk memastikan tiada variasi dalam kualiti dan kos membangunkan infrastruktur digital di Sabah.

7. Ia turut mencadangkan agar Kerajaan Sabah menggalakkan pelaburan swasta dalam pembangunan infrastruktur digital di samping mengurangkan komplikasi dalam prosedur pihak berkuasa tempatan.

8. Di samping itu, Kerajaan Sabah perlu melaksanakan perancangan strategik bersama MDEC dan MaGIC untuk memperkembangkan pendigitalan dalam kalangan usahawan-usahawan di kawasan luar bandar Sabah.

9. Dalam aspek pendidikan pula, Kerajaan Negeri perlu bekerjasama erat bersama sekolah-sekolah untuk memastikan guru dan murid dapat mengakses bahan-bahan pembelajaran dalam talian di dalam dan di luar sekolah, di seluruh negeri Sabah.

10. Pada saya cadangan-cadangan ini amat baik, dan Kerajaan Negeri haruslah bekerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan agar dapat merealisasikan impian merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat Sabah, seterusnya mengurangkan kemiskinan digital yang sedang kita hadapi.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *