SSK Centre: Terus Berbakti

1. Sewaktu kempen PRN Sabah September lalu, saya beraspirasi untuk mewujudkan sebuah persekitaran yang mesra masyarakat dan mesra anak muda di DUN Usukan.

2. Ini kerana saya percaya bahawa aktiviti ekonomi, sosial serta pendidikan masyarakat setempat harus dirancakkan dan anak-anak muda harus memperkasa minda dan keupayaan mereka untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin ke hadapan.

3. Walaupun pembinaan SSK Centre (SSKC) yang dijanjikan masih dalam peringkat perancangan rekabentuk, program-program di bawah kelolaan SSKC telah pun bermula sejak awal November yang lalu.

4. Sebagai permulaan, laman Facebook SSKC telah pun dilancarkan Oktober lepas sebagai platform maklumat, berita dan pengumuman berhubung aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan. Anda boleh mengikuti perkembangannya di www.facebook.com/SSKCentre.

5. Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan dan sehingga hari ini SSKC telah mendapatkan pendaftaran 150 orang anak muda sebagai Sukarelawan SSKC dalam program-program kemasyarakatan yang dijalankan.

6. SSKC juga telah pun menyediakan sebuah van yang menawarkan khidmat bantuan dan penghantaran ke hospital atau klinik kesihatan untuk mereka yang memerlukan ketika waktu kecemasan. Van ini juga digunakan untuk tujuan aktiviti kemasyarakatan yang lain seperti gotong-royong, ceramah dan sebagainya.

7. Sukarelawan SSKC setakat ini telah pun menggerakkan beberapa program seperti penyerahan bantuan makanan dan minuman kepada front liners yang bertugas sewaktu PKPB di Kota Belud selain melaksanakan aktiviti gotong-royong bersama masyarakat kampung.

8. Terkini, SSKC telah menganjurkan Program Berkhatan Percuma untuk anak-anak di Kampung Kulambai, Kota Belud. Program yang ditaja SSKC ini telah bekerjasama dengan Haji Laham Rudin, Penolong Pegawai Kanan Hospital Kota Belud yang selamat mengkhatankan seramai 15 orang anak-anak Kg. Kulambai kelmarin. Program ini akan diteruskan di kampung-kampung lain di kawasan Usukan juga, insya-Allah.

9. Program-program di bawah SSK Centre seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa berdasarkan keperluan masyarakat setempat. Saya ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua sukarelawan dan warga kampung-kampung yang terlibat. SSK Centre akan terus menyalurkan bakti kepada warga DUN Usukan khususnya, dan Kota Belud amnya.

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *