UCAPAN SSK BAJET 2021 DUN SABAH

Yang Berhormat Datuk Speaker,

A. PENGENALAN & SOKONGAN BAJET 2021

  1. Saya mengucapkan tahniah atas ucapan YAB Ketua Menteri yang telah membentangkan BAJET 2021 yang bersifat surplus, inklusif dan menekankan libat urus bersama Rakyat.
  2. Saya melihat BAJET 2021 ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri berpandangan jauh dalam memastikan pelan pembangunan yang lestari untuk tahun 2021 – 2025.
  3. Dengan izin, saya mengambil kesempatan ini untuk memberikan beberapa perkara cadangan kepada BAJET 2021 untuk perhatian Kerajaan Negeri.

B. KONSEP ‘RESET’ (TETAPKAN SEMULA KEUTAMAAN)

  • Kita perlu bersedia untuk meneruskan kehidupan dengan Norma Baharu. Ini merupakan kata-kata Penasihat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, yang berpendapat “COVID-19 tidak akan berakhir dalam tempoh dua tahun akan datang.”
  • Sehubungan dengan itu, saya berpandangan bahawa kita perlu ‘RESET’ atau tetapkan semula Prioriti atau Keutamaan dalam menghadapi suasana ekonomi yang amat mencabar.
  • Bagi saya, ‘RESET’ dalam konteks ini hanyalah merupakan penetapan semula keutamaan kita – ianya bukan satu tindakan drastik.
  • Sebagai contoh, apabila prestasi telefon pintar kita kurang memuaskan, maka kita perlu ‘RESET’ telefon tersebut untuk memperbaiki prestasinya. Ada perbezaan konsep dengan istilah ‘REFORMAT’ yang memadamkan semua isi kandungan.
  • ‘RESET’ ini penting kerana dalam Norma Baharu ini kita bukan sahaja lagi “berfikir di luar kotak” (think outside of the box). Mungkin Norma Baharu ini memerlukan kita mewujudkan Kotak Baru.
  • Dalam soal Ekonomi, kita tidak boleh melihat aspek Makro Ekonomi sahaja tetapi lebih banyak tumpuan harus difokuskan kepada soal Mikro Ekonomi.
  • Oleh itu, ingin saya tekankan bahawa ianya teramat penting untuk kita memelihara, menyokong dan membantu ‘Small Players’ atau Pemain Kecil Ekonomi kita. Mereka yang paling terjejas dalam mengharungi Ekonomi Norma Baharu ini, dengan risiko gelombang COVID-19, perubahan drastik ‘Supply and Demand’ dalam sektor ekonomi yang terjejas, dan tanggungjawab berterusan mematuhi SOP Norma Baharu.
  • Dalam konteks ini, Small Players adalah warga peniaga, pekerja dan usahawan kecil dan contohnya Pemandu Grab, Peniaga Warung, Pekerja Runcit, Pekerja Sektor Pembinaan, Petani, Peladang, Nelayan dan Pekerja Bebas (freelancer) yang paling terjejas dalam sumber pendapatan mereka mengharungi Norma Baharu ini.
  • Untuk membantu ‘Small Players’ kita, saya mencadangkan 3 perkara pokok yang perlu diberikan keutamaan:

(a) Pertama, Kerajaan perlu meneruskan projek pembinaan infrastruktur dan perumahan untuk menggalakkan peningkatan aliran wang dalam ekonomi tempatan (increased circulation of money in the economy). Kita perlu fokus meningkatkan keyakinan para pelabur dan komuniti tempatan. Ini memerlukan penglibatan aktif sektor awam dan swasta.

(b) Kedua, Kerajaan perlu menyelaraskan (coordinate) fasiliti atau kemudahan sedia ada seperti dana, geran, atau pinjaman wang agar benar-benar memudahkan dan membantu Small Players kita. Ini memerlukan kerjasama erat, pantas dan cekap semua agensi berkaitan samada di bawah Kerajaan Persekutuan ataupun Negeri. Contohnya, kita sudah mempunyai agensi TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dan Yayasan Usaha Maju yang boleh memberikan kemudahan pinjaman kredit.

(c) Ketiga, Kerajaan perlu memainkan peranan utama dalam menyediakan Pasaran bersesuaian untuk Small Players kita. Kajian perlu dibuat untuk kaedah pemasaran (marketing) yang memanfaatkan Small Players kita – samada dari segi tradisional atau inovasi teknologi terkini.

Yang Berhormat Datuk Speaker,

C. POTENSI EKONOMI BARU – PERIKANAN, PERTANIAN & PELANCONGAN

  1. Dalam konsep RESET, kita juga perlu meneroka potensi- potensi baharu ekonomi khususnya yang melibatkan sektor perikanan, pertanian dan perlancongan.
  2. Sebagai contoh sektor perikanan, saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini tentang kejayaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam usaha penternakan ikan kerapu hybrid oleh saintis muda pakar akuakultur Sabah, Prof Madya Dr Faihanna Ching Fui Fui di Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB). Kerapu hybrid ini mampu membesar lebih cepat dan cuma perlu 7-8 bulan mencapai saiz pasaran, berbanding 3 tahun bagi baka asli. Di samping itu, kerapu hybrid baru ini juga lebih rintang dengan penyakit dan perubahan iklim.
  3. Dalam sektor pertanian, Saya juga ingin menyarankan kita menerokai agroteknologi (agrotechnology) ataupun teknologi terbaru dalam bidang pertanian. Contohnya, kita perlu melihat kepada system penanaman sayur berdasarkan konsep hidroponik dan akuakultur menggunakan kaedah akuaponik. Kaedah penanaman baru ini lebih menjimatkan masa, tenaga dan kos dan juga dapat berkhasiat kerana hasil tanaman yang tidak memerlukan baja ataupun racun serangga.
  4. Dalam sektor perlancongan, saya mencadangkan kajian semula pendekatan perlancongan kita untuk berasaskan komuniti seperti Homestay, dan Backpackers. Kita perlu menumpukan usaha menggalakkan Perlancongan Domestik (Domestic Tourism) dan juga fokus kepada Kualiti dan bukan Kuantiti Pelancong (Quality Tourist Not Quantity Tourist).
  5. Dalam hal ini, perlancongan berasaskan komuniti (Community Based Tourism) ternyata lebih berkesan dalam memberi kesan ekonomi menyeluruh. Sebagai contoh, kita boleh melihat kejayaan Kadamaian Tourism Association (KATA) dan juga Kiulu Tourism Association (KTA).

Yang Berhormat Datuk Speaker,

D. USUKAN

  1. Sebagai ADUN Usukan, saya memohon izin untuk juga mengutarakan cadangan RESET dari konteks Usukan.
  2. Untuk mempercepatkan pembangunan ekonomi di Usukan, saya mencadangkan penjenamaan pekan-pekan dalam satu kumpulan daerah-daerah Kawasan Utara Sabah (contohnya Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat) sebagai “Northern Sabah”. Ianya mirip konsep penjenamaan yang lazim dilihat di negara-negara maju.
  3. Bagi saya penjenamaan ini diperlukan, kerana ianya akan memberi gambaran jelas untuk pelabur dan warga komunitinya tersendiri agar kita boleh sepakat memajukan dengan cara yang seimbang dan bukan berpusatkan daerah masing-masing. Ini juga akan memanfaatkan kelebihan yang ada dengan kedudukan geografi Usukan.
  4. Sehubungan dengan itu, ianya teramat penting untuk Usukan agar Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan pelaksanaannya.
  5. Ini kerana pembangunan Lebuhraya Pan Borneo akan terus menggalakkan pembangunan infrastruktur yang lain dan juga kitab oleh merancang pelbagai pembangunan menarik di Kota Belud dalam sektor perlancongan, pertanian dan juga perumahan mampu milik.
  6. Kota Belud juga tidak terlepas dari masalah banjir yang terus menjejaskan ekonomi dan komuniti penduduk tempatan. Saya ambil maklum bahawa Kerajaan Negeri sudah mengenalpasti punca dan perancangan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Saya menyeru dan berharap Kerajaan boleh menyegerakan semua aspek pelaksanaan perancangan tersebut agar kebajikan penduduk Usukan dapat terpelihara.

E. PENUTUP

  • Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua penganut Kristian, dan juga Selamat Tahun Baru kepada semua.
  • Dalam mengakhiri Tahun 2020 yang penuh dengan cabaran, saya berharap konsep RESET boleh membantu kita mengharungi Tahun Baru 2021 dengan Keutamaan yang jelas.
  • Akhir kata, dengan ini saya menyokong BAJET 2021 dan berharap ia mencapai objektifnya iaitu “RAKYAT SEJAHTERA, EKONOMI MAMPAN”.
  • Sekian, terima kasih.

SALLEH SAID KERUAK

ADUN N.10 USUKAN

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *