Selamat Tahun Baru 2021

1. Pejam celik, kita sudah tiba ke penghujung tahun 2020 dan akan menyambut ketibaan tahun baru beberapa hari sahaja lagi. Sesungguhnya tahun 2020 memang dipenuhi pelbagai peristiwa dan cabaran.

2. Seawal ketibaannya, kita telah sekali lagi melalui pertukaran kerajaan apabila kerajaan PH yang berusia 22 bulan tumbang. Ketidakstabilan politik sejak penghujung tahun sebelumnya diperitkan lagi dengan ketibaan koronavirus Covid-19 yang selanjutnya mengubah kehidupan kita semua sepanjang tahun 2020.

3. Kita semua terpaksa melalui beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan, dan sehingga kini ia masih berkuatkuasa. Kita juga memupuk norma-norma baharu dalam setiap aspek kehidupan kita ketika kita berhadapan dengan pelbagai cabaran kesihatan, keselamatan dan ekonomi. Kita berjuang setiap hari, namun kita masih belum lagi menang.

4. Secara peribadi, tahun 2020 adalah tahun yang sukar buat saya lupakan. Setelah menyepi dari gelanggang politik sejak pertengahan 2018, saya kembali kepada UMNO dan alhamdulillah, saya telah dipilih kembali menjadi ADUN Usukan pada September 2020. 

5. Ini membawa seribu makna kepada saya. Kerusi DUN Usukan adalah pengenalan pertama saya ke dalam politik negeri Sabah, dan seterusnya politik Malaysia. Saya bermula di Usukan, dan kini kembali bersama rakyat di Usukan.

6. Ini adalah ‘reset’ buat diri saya sendiri, dan dengan ‘reset’ ini saya juga memupuk pendekatan dan keutamaan yang baru dalam menghadapi cabaran-cabaran yang serba baru.

7. Kita sebagai rakyat Malaysia perlu ‘reset’ atau tetapkan semula keutamaan dalam menghadapi suasana kehidupan dan ekonomi yang amat mencabar. Pada saya ‘reset’ ini penting kerana dalam norma baharu ini kita bukan sahaja lagi berfikir di luar kotak malahan memerlukan kita mewujudkan ‘kotak baru’.

8. Usaha dan pendekatan ini perlu diteruskan. Saya ulangi pendapat Penasihat Khas Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood bahawa “COVID-19 tidak akan berakhir dalam tempoh dua tahun akan datang.” Kita harus terus berusaha, berdoa dan berpegang kepada harapan bahawa satu hari nanti, cabaran ini akan berakhir.


9. Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua di Sabah dan seluruh negara. Semoga tahun baru memberikan kita semangat baru yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Kita harus #TerusMelangkah bersama-sama ke sebuah era baru yang membawa kesejahteraan, keselamatan dan kedamaian, insya-Allah.

One Comment

  • Rafee Din

    Selamat Tahun Baru kepada DSSK dan semua. Semoga tahun 2021 dan yang mendatang akan menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya, tahun 2020 merupakan tahun yang banyak kenangan, banyak memori, banyak perkara dan perubahan yang kita alami tanpa kita sedari telah merubah keadaan kehidupan kita sekarang. Tahun 2020 adalah tahun pandemik dimana kita berjuang melawan coronavirus covid-19, pandemik ini telah banyak merubah disiplin diri masyarakat supaya lebih peka kepada soal² kesihatan, kebersihan dan keselamatan keluarga masing². Diharap tahun 2021 akan menjadi tahun yang lebih baik dan tahun yang penuh bermakna kepada kita semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *