PKP 2.0 & Proklamasi Darurat

1. Bermula hari ini negeri Sabah (bersama Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) melalui sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari sehingga 26 Januari ini.

2. Kelmarin pula, DYMM Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

3. Kita akui, gelombang baharu penularan Covid-19, bencana banjir serta keadaan politik negara yang tidak stabil telah membawa kebimbangan kepada rakyat. Kelmarin kita cecah satu lagi rekod yang membimbangkan, iaitu sebanyak 3,309 kes baharu.

4. Pengisytiharan dari Istana ini membawa mesej yang jelas: Kita harus segera henti berpolitik dan tumpukan perhatian kepada bencana yang menimpa rakyat dan negara.

5. Saya menyambut pengumuman Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersetuju dengan keputusan untuk menguatkuasakan PKP di Sabah selama dua minggu yang bermula tengah malam kelmarin.

6. Sabah adalah antara negeri yang paling teruk diancam gelombang baharu ini. Sejak bermulanya 2021, kita merekodkan antara 200 hingga 400 kes baharu setiap hari. Kita juga merekodkan jumlah kes paling tinggi setakat 12 Januari sebanyak 41,449 kes, iaitu hampir 30%.

7. Ketika pelaksanaan PKP yang pertama Mac tahun lalu, rakyat Sabah telah bersama berganding bahu dan berjaya melandaikan lekuk jangkitan seawal bulan Mei tahun yang sama.

8. Kita berhadapan dengan cabaran yang lebih besar kali ini, namun saya percaya kita boleh berjaya sekali lagi sekiranya kita bersatu dan terus mengamalkan penjarakan fizikal, mematuhi SOP PKP dan arahan proklamasi darurat.

9. Saya menggesa rakyat Sabah agar tidak panik dan terus tabah menghadapi cabaran ini. Hindarkan diri dari menyebarkan berita-berita palsu dan terus bersikap proaktif dan peka terhadap perkembangan semasa.

10. Saya ulangi betapa pentingnya untuk kita bersama-sama memastikan Sabah, dan seterusnya Malaysia untuk beransur pulih dan ekonomi kita berkembang seperti sebelumnya.

3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *