PKP 2.0: Bantuan Berterusan Amat Penting

1. Malaysia kini berhadapan dengan cabaran besar selepas peningkatan kes Covid-19 secara mendadak hingga mencecah 3,000 kes setiap hari. Kebimbangan inilah menjurus kepada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri seperti mana diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

2. Dalam keadaan barisan hadapan hampir lumpuh kerana tidak dapat menampung kes yang tinggi, maka wajib untuk kita sama-sama patuh pada arahan kerajaan iaitu duduk di rumah lebih-lebih lagi yang berada di kawasan zon merah.

3. Bagaimanapun, bantuan dan insentif haruslah diberikan secara berterusan memandangkan PKP ini saya jangka akan berlanjutan sekiranya kes masih belum menurun.

4. Sangat ramai golongan yang terkesan akibat pandemik ini bahkan ia terjadi kepada ekonomi seluruh dunia.

5. Saya petik kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNFPA yang dibuat tahun lalu, iaitu lebih 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan. Kadar pengangguran berada di paras 5.3% tahun lalu.

6. Maka penting untuk bantuan berterusan kepada mereka yang lebih-lebih lagi kurang didedahkan kepada jaringan perlindungan sosial seperti sumbangan Perkeso. Ia berikutan mereka yang bekerja sendiri dan pekerja dalam ekonomi gig, seperti pemandu e-hailing.

7. Para peniaga dan penjaja misalnya masih belum pulih sepenuhnya selepas PKP dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu. Meskipun diberi kelonggaran selepas itu mereka baharu bernafas untuk memulihkan perniagaan masing-masing.

8. Laporan media beberapa hari lalu turut mengatakan kebimbangan persatuan peniaga yang menjangkakan perniagaan mereka akan gulung tikar dan amat memerlukan bantuan dan insentif untuk terus bertahan dalam industri.

9. Selain itu insentif dan pakej kewangan yang berpusatkan kepada pekerja wajar juga dilaksanakan agar mereka dapat mengambil lebih ramai pekerja terutamanya siswazah yang baru menamatkan pengajian.

10. Marilah kita sama-sama memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada usaha-usaha membendung Wabak Covid-19 dari terus merebak. Covid-19, virus ini adalah musuh jelas dan nyata harus kita cegah dan hindari. Semoga ekonomi negara akan pulih dan berkembang demi kemaslahatan sejagat.

One Comment

  • Rafee Din

    Terbaik Datuk kerana membawa suara rakyat yang amat memerlukan dikala perlaksanaan PKP 2.0 ini, walaupun dengan pembukaan beberapa sektor serta kelonggaran perniagaan berbanding PKP yang pertama dahulu,namun banyak peniaga yang masih terkesan dengan perlaksanaan PKP 2.0 ini, disini saya senaraikan beberapa perniagaan yang harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan untuk dibantu sewajarnya;
    1. Peniaga pasar malam/siang ( terkesan kerana banyak kawasan yang tidak dibenarkan berniaga).
    2. Pekerja kantin atau peniaga kantin sekolah ( yang begitu lama tidak dapat beroperasi kerana tertakluk kepada pembukaan sekolah).
    3. Penjaja bergerak/ peniaga pasar tani ( kekurangan pelanggan dan ada yang tidak dapat berniaga)
    4. Peniaga pakaian bundle (walau dapat berniaga secara online namun wajar diberi perhatian kerana perniagaan ini menjadi trend dikalangan anak² muda, alangkah eloknya kalau kerajaan dapat memberi insentif tambahan kepada peniaga bundle ini sebagai pendorong kepada mereka)
    5. Pekerja yang kehilangan pekerjaan atau yang direhatkan (pekerja bergaji harian, dan semestinya mereka ini tidak ada sumber lain).
    Cadangan ini hanyalah membawa suara rakyat untuk diberi perhatian oleh kerajaan agar dapat diberikan bantuan yang sewajarnya.
    Akhir kalam, semoga semua usaha yang baik ini dapat meringankan beban mereka yang terkesan oleh pandemik virus covid-19 ini. TERBAIK DSSK kerana membawa agenda suara rakyat. #TERUS BERBAKTI#

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *