Vaksin & Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19

1.  Selepas lebih setahun pandemik Covid-19 menggemparkan dunia, awal tahun ini hampir 50 negara telah memulakan program vaksinasi rakyat masing-masing. China juga turut menjadi negara yang pertama memulakan vaksinasi pada musim panas lalu dengan menyasarkan golongan berisiko, tanpa menunggu kelulusan vaksin terbabit secara rasmi.

2. Malaysia juga tidak terkecuali dari langkah ini di mana program vaksinasi dijangka dapat meliputi lebih 80% atau hampir 27 juta rakyat menjelang suku pertama 2022. Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin di mana sejumlah RM3 bilion telah diperuntukkan khusus oleh kerajaan bagi membiayai program ini.

3. Walaubagaimanapun, kerajaan masih lagi dalam tempoh perancangan untuk menyusun golongan yang diutamakan untuk vaksin, garis panduan pelaksanaan dan agihan vaksin bagi menyokong program berkenaan. Ia dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat selama 12 bulan. Keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan seperti kakitangan kesihatan dan anggota keselamatan, selain golongan berisiko seperti warga emas.

4. Sekurang-kurangnya 60% rakyat perlu diberi vaksin bagi mencapai imuniti kelompok, yang bermaksud baki 30% rakyat turut terlindung jika 70% rakyat mempunyai perlindungan vaksin COVID-19.

5. Bagi umat Islam, hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan. Penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif Syarak.

6. Justeru itu, rakyat terutamanya umat Islam hendaklah patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menangani pandemik ini menerusi penggunaan vaksin. Ini adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat keputusan yang paling mendatangkan faedah atau maslahah kepada seluruhan rakyat.

7. Kepentinggan vaksinasi dapat dilihat apabila tiga varian baru koronavirus dikesan merebak dengan pantas di UK. Kajian mendapati 1 daripada 3 orang yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang gejala dan berpotensi tinggi untuk memyebarkan virus ini tanpa sedar. Tindakan pencegahan pantas amatlah diperlukan untuk mengekang virus ini dari terus menular.

8. Tiga varian baru yang berjaya dikenalpasti adalah di UK, dikenali sebagai SARS-CoV-2 VOC 202012/01, varian di Afrika Selatan dikenali sebagai 501Y. V2 dan di Brazil dikenali sebagai (VUI) 202012/01. Setakat hari ini, varian baru ini belum lagi dibuktikan mampu menyumbang kepada masalah kesihatan yang kronik atau menyebabkan kematian. Namun kajian terhadap varian baru ini masih lagi diteruskan.

9. Seperti koronavirus yang dikesan di China, pembawa virus akan menunjukkan gejala yang sama dan kaedah pengensanan PCR juga boleh digunakan.

10. Melihat kepada perkembangan ini, vaksinasi Covid-19 adalah jalan terbaik yang dilihat mampu memberi perlindungan untuk melawan virus ini dari terus menular dan seterusnya dapat memutuskan rantaian jangkitan dengan lebih berkesan.

11. Semoga usaha kerajaan dan petugas barisan hadapan ini membuahkan hasil sekaligus dapat menangani pandemik yang telah memberi kesan kepada negara. Mari kita sama-sama berdoa semoga kes Covid-19 dalam negara dapat dikurangkan. Sama-samalah kita terus jaga SOP demi kebaikan bersama.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *