Pengajaran & Pembelajaran Di Rumah (PdPR) – Pelaksanaan & Keberkesanan

1. Sesi persekolahan seluruh negara telah dibuka 20 Jan 2021. Bagaimanapun, peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan PKP memaksa kerajaan mengubah sistem pendidikan yang konvensional secara bersemuka kepada Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara dalam talian.

2. Pendekatan PdPR ini dibuat dalam talian, luar talian atau secara off-site. Manakala kaedahnya sama ada menggunakan modul atau berasaskan projek. Para guru berperanan besar di mana mereka dipertanggungjawabkan untuk menyusun modul.

3. Disebalik kritikan dan maklumbalas yang diperoleh dari pelbagai pihak, bagi saya PdPR adalah pilihan terbaik bagi masa kini. Langkah ini dilihat sebagai tepat dan perlu memandangkan kenaikan mendadak kes Covid-19.

4.  Berdasarkan pengalaman pelaksanaan PdPR sebelum ini, guru-guru memulakannya dalam keadaan serba kekurangan dari segi kemahiran, alatan dan rujukan. Dalam masa yang sama pelajar juga dilihat masih belum bersedia untuk memulakan norma baharu ini. Namun, pengalaman lalu membuatkan pelaksanaan akan bertambah baik dan lebih tersusun.

5.  Namun, terdapat kebimbangan dan beberapa masalah yang diutarakan berkaitan PdPR. Antaranya isu capaian internet, kesediaan pelajar, kemampuan B40 serta M40 dan pembabitan ibu bapa. Apabila isu-isu ini dibangkitkan, tindakan penyesuaian dalam sistem pendidikan apabila berlaku bencana atau wabak dilihat sangat perlu.

6.  Keadaan semasa ‘memaksa’ guru bertindak lebih responsif melalui penggunaan pelbagai kaedah dan platform bagi proses PdPR. Justeru, KPM perlu memikirkan penyelesaian terbaik dalam konteks pelaksanaan dan keberkesanan.

7.  Diakui KPM banyak melaksanakan pelbagai inisiatif terutamanya bagi pembelajaran dalam talian. Namun, ia harus sesuai termasuk berpusatkan murid dengan mengambil kira kandungan pelajaran, pendekatan pembelajaran dan kaedah penilaian berbeza.

8.  KPM boleh juga menggunakan pendekatan lain dengan menyediakan bahan pengajaran efektif secara merakam sesi pengajaran dijalankan guru berpengalaman.  Rakaman boleh diedarkan kepada sekolah atau diletakkan di media sosial KPM sendiri. Dengan cara ini, tugas guru lebih tertumpu kepada membimbing pelajar dan mampu memberi perhatian dalam proses membentuk kemenjadian murid.

9.  Bagi menyelesaikan masalah capaian internet di pedalaman atau dalam keluarga kurang berkemampuan untuk memiliki komputer riba dan telefon pintar, TV Pendidikan boleh dilaksanakan dengan kerjasama penyiaran swasta agar rakaman setiap mata pelajaran boleh diulang siar 24 jam.

10. Semua pihak mencari cara terbaik menghadapi isu PdPR. Oleh itu, tidak wajar kita membandingkan PdPR dalam talian ini dengan PdP secara bersemuka kerana kesan PdP di kelas melalui proses sangat matang jika hendak dibandingkan kesan PdPR dalam talian yang umurnya baru setahun jagung. Apa yang penting sebagai rakyat Malaysia, kita sama-sama fikirkan cara terbaik untuk memastikan pandemik Covid-19 ini berakhir.

One Comment

  • Rafee Din

    Satu pandangan yang harus diberi pertimbangan wajar oleh pihak KPM, kerana kita sedar pelajar² yang paling banyak terjejas semasa perlaksanaan PDPR ini adalah dari kawasan luar bandar atau pedalaman. Sebagai cadangan tambahan, kita sedia maklum bahawa semasa perlaksanaan PDPR ini terdapat ibubapa yang sanggup berkorban wang ringgit untuk membeli laptop atau tablet demi memudahkan anak² mereka mengikuti pembelajaran di rumah, alangkah elok sekiranya pihak kerajaan memberikan subsidi bagi setiap pembelian peralatan tersebut bagi mengurangkan bebanan ibubapa yang terbabit. TERBAIK DSSK.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *