Kelangsungan Hidup Dalam Norma Baharu

1. Kita masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan dan Darurat, dan saya percaya ramai antara kita yang sudah mula tertekan kerana risau akan kesihatan diri dan keluarga serta memikirkan cara-cara kelangsungan hidup dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini.

2. Dua hari lepas berita melaporkan bahawa sejak 16 Januari hampir separuh iaitu 102 daripada 221 sekolah menengah di Sabah disahkan mempunyai kes Covid-19 yang membabitkan pelajar dan guru sekolah.

3. Berita ini sangat membimbangkan ibu bapa dan masyarakat, dan saya berdoa agar negeri Sabah dijauhkan daripada kluster sekolah yang pastinya akan melonjakkan lagi penularan Covid-19 di Sabah.

4. Kerajaan GRS sedang melakukan sebaik kemampuan untuk membantu rakyat Sabah. Bayaran Bantuan Tunai Sekali Bayar berjumlah RM300 seorang telah pun mula diagihkan kepada 46,046 rakyat Sabah.

5. Kerajaan GRS di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Hajiji Noor juga telah menyalurkan sejumlah RM3.1 juta untuk 31 ADUN Pembangkang di Sabah untuk membantu mereka menangani beban akibat Covid-19 di kawasan masing-masing.

6. Bantuan Kerajaan sama ada Persekutuan atau Negeri sememangnya dialu-alukan oleh rakyat yang sangat tertekan ketika ini. Namun, saya percaya bantuan-bantuan ini hanya akan dapat meringankan beban rakyat buat seketika sahaja. Bencana Covid-19 adalah masalah yang berpanjangan, dan kita tidak tahu bila ia akan berakhir.

7. Saya sedar betapa golongan pemain kecil ekonomi seperti warga peniaga, pekerja dan usahawan kecil dan contohnya pemandu Grab, peniaga warung, pekerja runcit, pekerja sektor pembinaan, petani, peladang, nelayan dan pekerja bebas (freelancer) adalah yang paling terjejas dalam sumber pendapatan mereka.

8. Kelembapan ekonomi berikutan PKP memaksa kita untuk berfikir di luar kotak, atau mencipta kotak-kotak baharu. Kita mesti berusaha untuk menjadi warganegara digital dan memperkasa keupayaan kita untuk bertahan dan melonjakkan ekonomi diri dan keluarga.

9. Di seluruh negara ramai yang mula menggunakan landasan yang tersedia untuk menambah pendapatan mereka. Peniaga yang terpaksa menutup kedai pun beralih kepada jualan menerusi platform seperti Shopee, Lazada atau Carousell. Ramai juga yang mula perniagaan ‘dropship’ kerana ia sangat mudah, popular dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Anda hanya perlukan komputer dan internet sahaja.

10. Insya-Allah, SSK Centre akan menganjurkan beberapa program secara atas talian untuk memberikan pencerahan, maklumat serta tunjuk ajar bagaimana untuk mendapatkan pendapatan tambahan ketika KPK ini. Anda boleh ikuti perkembangan atau mendapatkan berita tentang program-program ini di laman Facebook SSK Centre https://www.facebook.com/SSKCentre nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *